Hasil cukai dimanfaat naik taraf lokasi pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

TUMPAT:
Pembayar cukai taksiran Majlis Daerah Tumpat (MDT) berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah lebih RM10,000 termasuk motosikal, basikal dan barangan elektrik.

Yang Dipertua MDT, Rusydee Abdullah berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha memberi galakan kepada pembayar cukai menjalankan tanggungjawab melunaskan cukai.

Katanya terdapat kira-kira 17,000 pemilik akaun cukai taksiran bagi tahun semasa dan ia juga termasuk cukai tertunggak.

Advertisement

“Kekangan penularan wabak Covid-19 menyebabkan operasi MDT tidak dapat dilaksanakan. Tahun ini kita kempen dengan mengadakan cabutan bertuah.

“Tujuannya sebagai galakan dan penghargaan kepada pemilik untuk membuat bayaran walaupun berdepan penularan wabak Covid-19,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang cabutan bertuah cukai taksiran 2021 di Laman Tugu Kapal Vietnam, Pantai Sri Tujoh di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha MDT, Mohd Khairil Hazmie Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Tunggakan dan Rayuan Cukai Taksiran MDT, Che Din Mustafa dan ahli-ahli Majlis MDT.

Rusydee berkata, hasil kutipan itu dikembalikan semula kepada rakyat melalui pembangunan sosio ekonomi, kebersihan dan kemudahan awam.

Malah MDT juga menambah laluan kutipan sampah daripada empat kepada lima laluan yang melibatkan Kampung Laut ke Cabang Empat Tumpat.

Menurutnya melalui hasil kutipan cukai turut digunakan bagi menaik taraf Taman Awam Pantai Sri Tujoh dengan peruntukan RM500,000 sebagai lokasi pelancongan. – HARAKAHDAILY 25/1/2022