Buktikan Undi 18 satu keputusan tepat

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari, mengajak anak muda berusia 18 tahun hingga 20 tahun menunjukkan komitmen mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kali ini.

- Advertisement -

Katanya, PRN Johor merupakan waktu terbaik untuk mereka membuktikan keputusan kerajaan melaksanakan Undi 18 adalah satu keputusan yang tepat.

“Tunjukkan komitmen anak muda akan membuat pengundian dan membuat pilihan yang betul berasaskan kepada fakta dengan keluar beramai-ramai untuk menjalankan tanggungjawab ini,katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, PRN Johor merupakan platform pertama untuk rakyat menilai sama ada keputusan kerajaan dalam memberikan peluang untuk anak muda berusia 18 tahun sehingga 20 tahun menjalankan tanggungjawab mengundi adalah keputusan yang tepat atau sebaliknya.

PRN Johor menjadi pilihan raya pertama yang membenarkan pemilih dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun untuk menjadi pengundi selepas diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.

Pelaksanaan ini menyebabkan penambahan 30 peratus pengundi di Johor dengan jumlah hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -