5,200 individu ditahan, dadah lebih RM3.5 juta dirampas

Kejayaan Op Tapis Khas selama tiga hari dipimpin Datuk Ayob Khan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas sejumlah 212.6 kilogram (kg) dan 1,199.2 liter pelbagai jenis dadah dianggar bernilai lebih RM3.5 juta, selepas menahan 5,200 orang menerusi Op Tapis Khas di seluruh negara dari 21 hingga 23 Januari.

Pengarah JSJN Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan dalam operasi bersama polis kontinjen negeri-negeri itu, terdiri daripada 4,987 lelaki dan 213 wanita berumur lingkungan 13 hingga 60 tahun.

- Advertisement -

“Dalam operasi selama tiga hari itu, polis dalam masa sama berhasil menahan 942 tokan dadah yang turut melibatkan remaja bawah umur. Seramai 129 suspek merupakan warga asing. Operasi sama itu turut menggempur 367 sarang penagih,” katanya pada sidang media JSJN di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 39C, 12(2), dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Ayob Khan berkata polis turut merampas satu senjata api ‘Revolver’ dalam operasi di Perak, selain senapang buatan sendiri masing-masing di Sarawak dan Negeri Sembilan, berserta beberapa butir peluru. 

Turut disita wang tunai berjumlah RM333,766; barang kemas bernilai RM41,540; 34 kenderaan bernilai RM1.58 juta; dan 69 motosikal bernilai RM391,700.

Ayob berkata operasi itu akan diteruskan di semua kontinjen, di samping Program Jihad Dadah dalam usaha membanteras ancaman dadah dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

- Advertisement -