UMK peruntuk RM10 juta jaga kebajikan pelajar

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memastikan kebajikan pelajar di universiti itu terbela khusus golongan B40 termasuk memberi pengurangan kadar yuran.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak berkata, sumbangan tersebut memberi keutamaan pelajar yang kurang berkemampuan dan kategori B40.

Katanya, peruntukan itu merangkumi sumbangan dalam bentuk wang tunai, bantuan kotak makanan, hamper serta bantuan dalam bentuk peranti.

Advertisement

“Sumbangan terbabit bertujuan memastikan kebajikan pelajar UMK lebih terjaga dan terpelihara di samping kualiti kehidupan dan pembelajaran mereka dalam keadaan terbaik.

“Bantuan ini sumbangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), UMK, agensi kerajaan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Agrobank, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan penyumbang-penyumbang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Bagi Sesi 2021/2022 dan penyerahan bantuan pelajar asnaf B40 UMK di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Turut hadir Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan Fungsi Naib Canselor, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Zaluzi Sulaiman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah.

Hadir sama Pegawai Unit Penyelaras Komuniti YaPEIM Nik Muhammad Hazwan Nek Aziz dan Pengarah Wilayah Agrobank Wilayah Kelantan Terengganu, Farizan Che Hamid.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Dr Razli juga berkata, setakat ini sebanyak RM45,930 disumbang kepada 139 pelajar universiti itu yang terkesan dengan bencana banjir. – HARAKAHDAILY 24/1/2022