PN sedia hadapi PRN Johor

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata meskipun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini, namun keputusan pembubaran DUN dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.

Advertisement

Menurutnya yang juga Presiden Bersatu, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya PN akan mengadakan rundingan dengan parti anggotanya bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.

“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam pilihan raya ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pengundi yang layak mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menambah, SOP yang ditetapkan pada PRN Johor kelak perlu seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat.

Muhyiddin juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berusia 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor.

“Tunaikan hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,” katanya.

Sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN. – HARAKAHDAILY 24/1/2022