Pasca banjir: Sukarelawan cat rumah Mak Andak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guchil, Hilmi Abdullah, sukarelawan Dun Guchil dan team Barracuda Kuala Krai yang telah berjaya mengecat rumah Mak Andak Kampung Teroh, Karak.

Menurutnya, Mak Andak adalah seorang armalah yang hidup berseorangan.

Katanya, rumah itu yang dipenuhi dengan lumpur selepas banjir melanda kampung berkenaan telah dibersihkan oleh pasukan Khidmat Malaysia Kuala Krai, Jabatan Amal Kuala Krai dan sukarelawan Dun Guchil sewaktu misi bantuan banjir baru-baru ini.

- Advertisement -

Sebagai susulan, ujarnya Adun Guchil dan pasukannya datang lagi bagi mengecat, memasang langsir dan membersih halaman rumah Mak Andak.

Menurutnya lagi, secara kebetulan pula, beliau datang untuk menyampaikan sumbangan PA sistem kepada Surau Al-Irsyad bersebelahan rumah Mak Andak di mana team Guchil sedang menjalankan operasi itu.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat. Alhamdulillah, inilah antara hikmah di sebalik musibah yang menimpa,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, semalam

Tambahnya, beliau dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur, Jumaat lepas sempat singgah di Kampung Teroh untuk menyerahkan PA sistem kepada Surau Al-Irsyad yang diterima oleh pengerusinya yang mesra dengan panggilan Pak Chu Li.

“Saya juga sempat melihat karpet yang telah dipasang oleh sukarelawan Khidmat Malaysia Kuala Krai dua minggu yang lalu,” ujarnya.

Katanya, surau itu antara yang terjejas sewaktu banjir melanda hujung tahun lepas dan telah dibersihkan oleh pasukan Khidmat Malaysia Kuala Krai.

“Karpet dan PA sistem yang telah diserahkan ini adalah hasil sumbangan para dermawan khususnya warga Kuala Krai yang prihatin dengan musibah yang berlaku,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

- Advertisement -