Memangkin semangat pertahan kemenangan PAS Terengganu

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

POLITIK makin membahang suhu walaupun rakyat dijeruk kepayahan akibat bah besar yang menyebabkan 71,000 mangsa banjir telah dipindahkan. Di ibu kota pembangkang mula menggerakkan bantahan awam terkait isu Tan Sri Azam Baki walaupun pandemik yang menyelimuti dunia sejak 2020. DUN Johor akan berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan menjadi pemangkin kepada Umno untuk memberikan signal bahawa mereka bersiap untuk menawan Putrajaya dengan koalisi mereka sendiri.

Musim pandemik yang membunuh hampir 32,000 jiwa dan juga merencatkan pelbagai program parti yang telah diatur namun kita tidak mempunyai pilihan untuk terus merengkuh sokongan rakyat. PAS Terengganu perlu menggerakkan semula program parti di pelbagai peringkat dan jentera parti di negeri Tokku Paloh ini.

Jika diimbau program himpunan sebelum pandemik, maka Terengganu paling terkedepan dalam memugar semangat ahli akar umbi. Ijtimak dengan jenama HARAP, bahkan kuliah perdana seperti kehadiran Ustaz Dr Abdul Somad dari Indonesia boleh mencecah 100,000 khalayak. Program FASTAQIM di Pantai Tok Jembal sebelum PRU14 telah menyaksikan kehadiran lebih 300,000 khalayak dengan kehadiran paling ramai ialah dari Terengganu sendiri. Minggu lepas sebagai contoh, dalam kesuraman pandemik, ribuan rakyat telah berhimpun di Dataran Darul Atiq Kampung Gemuruh, Kuala Nerus untuk mencicip ilmu daripada Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Wadi. Mereka mengubat kerinduan untuk berhimpun, berukhuwwah dan bertanya khabar.

Advertisement

Budaya mendepang telinga untuk mendengar ceramah bukan suatu yang pelik di negeri menjunjung syariat ini. Dalam dekad 1980-an, jika ceramah Tuan Guru Abdul Hadi boleh mencecah puluhan ribu khalayak, anak-anak muda peserta kebangkitan Islam seperti semut menghurung gula. Anak muda berlilit serban, sejauh Kemaman dan Besut akan membonceng motosikal ke lokasi ceramah Ayah Chik di Rusila atau Chendering. Kehebatan Ayah Chik sebagai ulama muda saat itu sehingga menghiasi muka depan majalah Asiaweek. Masjid Rusila pernah menghimpunkan lebih 100,000 pendengar saat Ijtimak Alami berlangsung pada tahun 1988.

Dalam dekad 1990-an, antara program yang menghimpun 100,000 pendengar ialah forum perdana PAS Terengganu di Manir, euforia reformasi pasca pemecatan Anwar Ibrahim turut menyimbah kesan ke Terengganu. Forum Perdana pada tahun 1999 itu menampilkan Dr Hasan Ali, Dr Haron Din, Ustaz Ismail Kamus serta pimpinan utama PAS. Gelombang kebangkitan ummah itu juga membawa kesan hiliran politik iaitu PAS berjaya menawan Terengganu pada bulan November 1999.

Terengganu sejak berzaman sangat berwarna warni, kadang sangat kontradik. Bukan sekadar pesta pantai di zaman dahulu menghimpunkan puluhan ribu rakyat namun program ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan Ilmu Jerteh dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Negeri jantung hati Muslim negara ini merupakan wilayah pengaruh PAS kedua yang terkuat selepas Kelantan. Dalam tiga pilihan raya umum, PAS merengkuh kekuasaan di negeri penyu bertelur ini iaitu pada tahun 1959, 1999 dan 2018, manakala dalam pilihan raya tahun 1969 dan 2013 hanya berselisih dua kerusi untuk memerintah negeri Tok Ku Paloh ini. Pastilah pendukung PAS Terengganu tidak mahu mitos Terengganu adalah kerajaan sepenggal dan sumpahan ini akan kekal. Dedikasi dan kerja keras perlu dilipat kali gandakan untuk memenggal mitos ini.

Terengganu mula menubuhkan cawangan PAS yang pertama di Dungun pada tahun 1956, di mana daerah agrarian ini mempunyai tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Ustaz Umar Shukri Embong dan lain-lain lagi. Pengaruh PAS dengan mudah berkembang di tanah kelahiran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tok Ku Pulau Manis dan Tok Ku Paloh ini apabila guru-guru agama memainkan peranan menyebarkan pengaruh PAS melalui jaringan pendidikan Islam pondok serta madrasah agama. Inilah jawaban yang Tuan Guru Abdul Hadi sebutkan dalam ucapan di mana-mana program bahawa jihad ta’lim akan memangkin kekuatan gerakan Islam.

Masjid Rusila

Pondok-pondok dan sekolah agama rakyat seperti sekam dibakar api, penubuhan cawangan PAS menjadi pantas berkembang, paralel dengan kegiatan jihad ta’lim. Terengganu pada awal abad 20 menyaksikan Sarekat Islam Terengganu menjadi wadah penentangan kepada British dengan kemuncaknya berlaku perang Padang Kachong pada tahun 1928. Semangat jihad dikobar melalui suluhan ilmu Islam dan inilah juga resipi perjuangan di sepanjang zaman.

Negeri yang subur dengan jihad ta’lim ini turut disentuh sikap beragama rakyatnya oleh Munsyi Abdullah, juga menjadi negeri terakhir di Tanah Melayu yang menanggalkan pelaksanaan Undang-Undang Islam. Terengganu juga disorot oleh majalah Asiaweek sebagai negeri paling hangat pertarungan politik termasuk di luar musim pilihan raya.

Dengan latar belakang semaraknya pendidikan Islam melalui sekolah pondok dan sekolah agama rakyat di Terengganu inilah, maka PAS menjadikan negeri ini kubu mereka. Dalam pilihan raya 1959, PAS Pusat telah meletakkan ramai tokoh nasional bertanding di negeri ini. Antaranya ialah Dr Burhanuddin al Helmi, Hasan Adli, Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen. Budaya mendengar ceramah politik Islam adalah hiburan di negeri ini, begitu juga kuliah maghrib perdana.

Pimpinan PAS Terengganu pasca era kepimpinan ulama telah memberikan perhatian besar kepada pemberdayaan institusi pendidikan Islam, maka Badan Perhubungan PAS Terengganu menubuhkan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985 dan juga KUDQI. Dewan Ulamak PAS Terengganu dengan kerjasama PAS kawasan-kawasan telah menubuhkan jaringan sekolah rendah Islam di seluruh Terengganu seperti Darul Taqwa, Darul Bayan, Darul Ehsan, Darul Iman, Darul Falah, SRIDAF dan lain-lain. Dewan Pemuda PAS pula mengoperasikan jaringan PASTI di seluruh Terengganu sehingga pendidikan prasekolah ini menjadi fenomenal.

Kegiatan jihad pendidikan di Terengganu juga disuburkan oleh pelbagai pihak persendirian serta pimpinan PAS malah fenomena kemunculan maahad-maahad tahfiz seperti cendawan di musim hujan. Terengganu pasca 9 Mei 2018 menyaksikan kesuburan majlis-majlis ilmu dengan mendadak, ramai asatizah dan selebriti agama memilih Terengganu untuk berprogram. Masjid di seluruh Terengganu seperti berlumba-lumba mengadakan pelbagai program keilmuan serta pentauliahan skala besar kepada para pendakwah. Ini digalakkan oleh kerajaan PAS Terengganu, juga melalui penubuhan IMIT-S serta pelbagai gerakan swadaya untuk memajukan jihad pendidikan.

Dr Riduan Mohamad Nor

PAS dan seluruh penggeraknya di Terengganu perlu digerakkan dengan agresif program menjelang PRU15. Isu-isu rakyat perlu diperjelaskan sebaik mungkin terutama mujahid siber yang terlibat dalam membantu kempen kesedaran pengundi terutama anak muda pengundi kali pertama. Pelbagai kemungkinan perlu diunjurkan menjelang PRU15 samada akan berlaku perlawanan dua penjuru atau tiga penjuru namun PAS perlu mempersiapkan kekuatan organisasinya. – HARAKAHDAILY 24/1/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.