Ustazah Nuridah mencurah prihatin ke Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan sumbangan dan ziarah kepada mangsa banjir dan golongan memerlukan di negeri ini baru-baru ini.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh diiringi Timbalan Pengerusi Lajnah LKK Muslimat PAS Malaysia, Zurina Din pada sumbangan di Kuala Terengganu dan ziarah di Kemaman itu.

- Advertisement -

Serahan sumbangan berbentuk wang tunai dan naskhah Al-Quran itu disampaikan Nuridah kepada wakil Muslimat PAS Negeri Terengganu untuk disampaikan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka.

Delegasi Muslimat turut memanjangkan langkah dengan mengadakan kunjungan ziarah kepada penghidap penyakit kronik bertempat di kediaman masing-masing di perumahan FELDA Cherul, Kemaman.

Ia bertujuan menyuntik kekuatan buat mereka yang diuji dengan dugaan berat ini agar terus tabah menghadapi dugaan dihadapi di samping menyampaikan sumbangan daripada orang ramai menerusi Skuad Prihatin. 

Pesakit Hamadah Mamat, 65 telah menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa berulang alik dari hospital untuk mencuci buah pinggangnya sebanyak tiga kali sehari di mana beliau dijaga oleh anak dan suaminya. 

Khadijah Abdullah, 62 menghidap penyakit parkinson selama 17 tahun dan beliau hanya terlantar sakit tanpa boleh melakukan aktiviti harian seperti orang lain di mana semua keperluan hariannya bergantung kepada suami dan anak-anak.

Amir Mamat, 44 pula sejak usia yang masih muda terpaksa kehilangan kaki kanan kerana menghidap kencing manis menyebabkan beliau tidak dapat berkerja sepenuhnya dan dijaga oleh isteri serta anak-anak. 

Che Mat Jusoh, 61 juga penghidap sakit kencing manis dan strok di mana terpaksa dipotong kaki kanan, selain beliau juga mempunyai masalah penglihatan dan tidak dapat untuk meneruskan hidup seperti biasa. 

Nuridah dalam setiap pertemuan itu menitip pesanan kepada ahli keluarga mereka yang ditimpa sakit itu agar abar dalam hadapi ujian ini dan memelihara sembahyang walau dalam keadaan sakit agar Allah sentiasa memberi kekuatan.

Sumbangan berbentuk kewangan dan bakul makanan disampaikan oleh beliau itu sebagai tanda sokongan moral buat mereka yang ditimpa musibah ini.

Orang ramai dialu-alukan untuk turut sama menyumbang kepada tabung Skuad Prihatin menerusi akaun Maybank 5640 2540 0533 atas nama Parti Islam Se-Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -