SRITI Al-Istiqamah kumpul lebih 10 tan baju terpakai

- Advertisement -

TAMBUN: SRITI Al-Istiqamah Meru Raya berjaya mengumpulkan lebih 10 tan baju terpakai dalam usaha institusi pendidikan rendah milik Pemuda PAS itu menambah dana pengurusan dan pembangunan sekolah tersebut. 

Usaha dilaksanakan melalui program Hari Pengumpulan Pakaian Terpakai dengan kerjasama Lajnah Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Kesihatan Pemuda PAS Kawasan Tambun ini telah dilangsungkan selama dua hari.

- Advertisement -

Pengerusi Lembaga Pengurusan SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Fariq Izwan Md Bahrin berkata, meskipun program itu julung kali diadakan namun ia mendapat sambutan yang sangat hebat dan di luar jangkaan. 

Menurut beliau, daripada kempen tersebut jelas nyata bahawa para penduduk setempat khususnya dalam kawasan Tambun dan juga sekitar Bandaraya Ipoh ini mempunyai kesedaran menjaga kelestarian alam sekitar.

“Kita berjaya mengumpulkan lebih 10 tan pakaian terpakai dengan pelbagai kategori antaranya pakaian elok, pakaian yang telah rosak dan barangan lain seperti beg sekolah, tali pinggang dan lain-lain,” ujar beliau.

Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri dalam pada itu berkata, pihaknya turut merancang untuk meneruskan program itu pada masa akan datang ataupun berkala berdasarkan permintaan tinggi para penyumbang.

“Kebanyakan mereka (penyumbang) berkongsi pandangan bahawa program ini perlu dilaksanakan secara kerap. Rata-rata mereka menarik nafas lega kerana program ini telah menyelesaikan masalah mereka yang buntu ke mana sepatutnya disalurkan pakaian-pakaian terpakai ini,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, keseluruhan pakaian dan barangan yang terkumpul diserahkan kepada syarikat kitar semula tekstil Life Line Clothing Malaysia (LLCM) serta akan diasingkan di kilang terletak di Pelabuhan Klang mengikut keadaan pakaian berkenaan.

Ketua Pemuda PAS Negeri Perak itu turut menyarankan agar Pemuda PAS Kawasan lain seluruh negeri ini mengambil peluang menganjurkan aktiviti sama di tempat masing-masing dan bersama pihak syarikat LLCM di talian bebas tol 1300-22-2258. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -