Manfaat SKIMPAS disampaikan buat keluarga Ahmad Zaki

- Advertisement -

MERSING: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Pusat telah menyampaikan sumbangan takaful kepada keluarga Komandan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Mersing, Almarhum Ahmad Zaki Mahbar.

Pengerusi LKK PAS Pusat, Dr Rosni Adam mengetuai delegasi Pengurusan Skim Kifalah Ahli PAS (SKIMPAS) hadir ke kediaman arwah dan membuat serahan cek RM10,000 kepada balu almarhum, Zarina Zainol, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Serahan diiringi Pengurus Besar SKIMPAS, Abdul Razak Mohamed ini turut disaksikan Timbalan Pengerusi LKK PAS Negeri Johor, Khairul Anuar Ahmad Kamil dan para pimpinan PAS Mersing yang hadir.

Almarhum Ahmad Zaki berusia 45 tahun juga adalah Ketua Kor Marin AMAL Pusat di mana arwah telah disahkan meninggal dunia ketika operasi Misi Banjir di Bukit Changgang, Selangor pada 24 Disember lalu.

“Sesungguhnya komitmen, semangat dan pengorbanan almarhum harus dicontohi dan memberikan semangat kepada kita semua untuk terus kekal berjuang.

“Tanpa mengira medan kita masing-masing dan tanpa mengira posisi serta jawatan disandang, walaupun hanya sekadar berstatus ahli biasa. Kita semua berhak untuk mempersiapkan segala amal buat bekal kita di akhirat. 

“Semoga Allah SWT menerima segala amal, pengorbanan dan kesusahan yang dilakukan dengan ikhlas di dunia ini,” ujar Dr Rosni dalam suasana hiba yang masih jelas menyelubungi keluarga kehilangan suami dan ayah tercinta kepada empat anak itu. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -