Beri galakan wanita jalani ujian mamogram

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR:
Dewan Muslimat PAS Malaysia bersetuju dengan sumber yang mengatakan lebih 80 peratus wanita di Malaysia masih belum menjalani ujian mamogram.

Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad, berkata kerajaan perlu meneliti semula mengapa ada segelintir wanita masih belum menjalani ujian mamogram kerana terdapat keperluan di sebalik ujian tersebut.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberikan fasiliti dan perkhidmatan serta kebolehcapaian tempat untuk mengambil ujian mamogram terutama sekali kepada wanita kelompok di luar bandar.

“Mamogram bukan ada di hospital daerah biasa, dia ada di tempat hospital rujukan seperti hospital di bandar besar yang jauh dari tempat tinggal mereka seperti di kawasan bandar.

“Walaupun ada di hospital swasta pun memang terpaksa berada di pusat bandar, jadi untuk wanita-wanita yang berada di kelompok luar bandar memanglah agak sukar untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut melainkan kerajaan bersungguh-sungguh untuk menyediakan klinik bergerak yang diadakan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) diadakan di klinik ataupun terdapat klinik bergerak untuk mamogram,” ujar beliau kepada Harakahdaily.

Jelas beliau, kerajaan perlu menggunakan agensi yang berada di kawasan luar bandar seperti penghulu, ketua kampung atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menguar-uarkan program mamogram.

“Jika di bandar, mungkin kita boleh uar-uarkan program ini melalui persatuan penduduk, kerajaan sama ada kementerian atau agensi LPPKN yang sangat dekat dengan rakyat di luar bandar.

“Sebagai contoh, pemberian baucar kepada rakyat, kemudahan pengangkutan, dan mencipta aplikasi di telefon pintar khusus untuk kesihatan wanita yang berperanan untuk menjalani ujian mamogram atau saringan yang lain,” ujarnya.

Justeru, beliau juga berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula kaedah untuk memberi galakan dan kesedaran kepada wanita untuk menjalani ujian mamogram.

“Kita bukan nak mewajibkan tetapi kita bagi galakan dan kesedaran kepada wanita untuk menjalani ujian tersebut kerana ujian itu agak mengerikan jika mereka yang tidak mengetahui bagaimana cara-cara mamogram dilakukan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -