Ada ketikanya 150 pelanggan ‘serbu’ Ar Rahn

- Advertisement -

Oleh HARAKAHDAILY

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan Kelantan melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melebarkan perniagaan berasaskan syariah ke Sabah, sudah lama ditunggu rakyat negeri itu.

Lebih-lebih lagi kira-kira 80 peratus penduduk Sabah beragama Islam yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Kehadiran sistem gadaian Islam direbut peluang oleh penduduk Islam. Malah peluang itu juga dimanfaat penduduk bukan Islam.

- Advertisement -

Perkembangan yang berlaku itu menyebabkan banyak pihak di sini berharap Permodalan Kelantan Bhd (PKB) yang mengendalikan premis Ar Rahn di Sabah mengembangkan lagi sistem gadaian Islam ke seluruh negeri tersebut.

Mereka juga melihat potensi Ar Rahn mengembangkan perniagaan ke Labuan memandangkan populasi golongan bumiputera kira-kira 78 peratus daripada lebih 56,000 penduduk.

Seorang usahawan Mohd Rahimin Mustafa berkata, kehadiran Ar Rahn ke Labuan dapat membantu penduduk di pulau tersebut memberi pilihan kepada mereka daripada menggunakan pajak gadai konvensional.

Katanya, dengan adanya Ar Rahn dapat membantu penduduk tempatan menggadaikan barangan perhiasan emas tanpa melibatkan unsur riba.

Ar Rahn Cawangan Api-Api Kota Kinabalu.

“Sebelum ini mereka terpaksa menggunakan kaedah konvensional yang jelas berunsur riba apabila kesuntukan bagi mendapatkan wang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau yang berasal dari Kelantan, memiliki syarikat travel dan ICT di sini yakin segmen perniagaan berorientasikan Islam akan mendapat sambutan menggalakkan penduduk tempatan.

Langkah PKB membuka premis Ar Rahn di Sabah pada 2014 mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh singkat.

Perkara itu diakui Pemangku Pengurus Ar Rahn Cawangan Sandakan Nik Nisreen Mohd Fitri, apabila premis tersebut terpaksa menambahkan lagi lot perniagaan kepada dua pintu sekarang.

Katanya, premis itu yang dibuka pada 2014 dengan menyewa sebuah lot rumah kedai, dan ditambah kepada dua lot pada 2017 memandangkan sambutan pelanggan begitu menggalakkan.

“Sebelum ini penduduk tempatan tidak faham sistem gadaian Islam, namun sekarang semakin ramai yang tahu hasil kempen dari mulut ke mulut pelanggan yang pernah berurus niaga di Ar Rahn.

“Kami juga mengadakan kempen dan penerangan melalui media sosial di mana sambutannya memberangsangkan, ramai netizen bertanya kelebihan menggunakan sistem gadaian Islam berbanding konvensional,” katanya ketika ditemui Khamis lepas.

Ar Rahn Sandakan.

Beliau yang berasal dari Kota Bharu mulai bekerja di Ar Rahn Sandakan pada 2019 selepas menamatkan pengajian di UniSZA dalam bidang Hubungan Antaranbangsa.

Rakan setugasnya Mohd Hafiz Fahmi Ishak, yang mulai berkhidmat di Ar Rahn sejak 2014 mengakui pada peringkat awal premis itu dibuka tidak mendapat sambutan masyarakat.

Katanya, pada empat bulan pertama beroperasi kurang 10 pelanggan yang datang setiap hari.

“Namun selepas itu pelanggan mulai ramai, di mana ada ketikanya lebih 150 pelanggan datang sehari bagi mengadai barangan kemas milik mereka,” katanya yang berasal dari Sandakan.

Menurutnya kehadiran ramai pelanggan menyebabkan Ar Rahn kehabisan stok wang tunai yang ada pada hari berkenaan.

Kata beliau juga orang ramai minat berurusan di Ar Rahn kerana prosedur lebih mudah, tanpa perlu mengisi borang. Selain itu upah simpan lebih murah dan nilai gadaian sehingga 80 peratus.

Ar Rahn Beufort.

PKB juga merancang membuka cawangan baharu di Lahad Datu tidak lama lagi dengan mengambil kira permintaan penduduk tempatan. Sekarang Ar Rahn memiliki sembilan cawangan di Sabah.

Lokasi baharu itu turut ditinjau Pengurus Besar PKB Ramilan Abdul Rahman baru-baru ini. PKB juga memiliki 100 cawangan di seluruh negara termasuk 65 yang diurus secara francaise. – HARAKAHDAILY 23/1/2022

- Advertisement -