Urus kehidupan agar segalanya kerana Allah

- Advertisement -

SEBENARNYA dalam hidup kita ini, jika kita mahu hati tenang dan mudah urusan dalam semua perkara, tak lain tak bukan, kita mesti kembali kepada Allah. 

- Advertisement -

Semasa hidup kita ini, kita dekatkan diri kita kepada Allah dan kita buat perkara yang diredhai Allah. Kita hendak laksanakan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan kita. InsyaAllah segala masalah kita akan dibantu dan diselesaikan oleh Allah S.W.T. 

Firman Allah S.W.T:

وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَّيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُۗ وَمَنْ يَّتَوَكَّلْ عَلَى اللّٰهِ فَهُوَ حَسْبُهٗ ۗاِنَّ اللّٰهَ بَالِغُ اَمْرِهٖۗ قَدْ جَعَلَ اللّٰهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“…dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”

(at-Talaq: 2-3)

Petunjuknya di sini adalah kita perlu menjadikan diri kita ini orang yang bertakwa. Kita perlu menjadi orang yang seratus peratus taat dan patuh kepada Allah S.W.T. 

Kita menjadi orang yang suka kepada segala apa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T dalam semua lapangan hidup kita. Orang yang bertakwa adalah orang berkehendak hidup cara Islam bukan sahaja utk keluarga tetapi juga dalam masyarakat, negeri, negara serta dunia amnya. 

Seluruh dunia menjulang apa yang dikehendaki oleh Allah S.W.T, mendaulatkan titah perintah Dia sebagaimana yang ada dalam al-Quran dan Sunnah Baginda Rasulullah S.A.W.

Dalam kita menghadapi apa-apa sahaja tribulasi dan ujian dalam hidup, untuk kita berdepan dengan penuh ketenangan dan mudah tidak ada cara lain selain kita sendiri mesti kembali kepada Allah. Kita mesti dekat, ikut dan patuh segala apa dikehendaki Allah. Firman Allah S.W.T: 

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنْ تَنْصُرُوا اللّٰهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ اَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

(Muhammad: 7)

Jadi, kembalilah kepada Allah S.W.T yang Maha Esa. Dia adalah penyelesai segala masalah hidup kita di samping kita berusaha menguruskan perjalanan hidup kita.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -