Selangor perlu perbaiki kelemahan pengurusan banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengurusan banjir di Selangor cukup lemah dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri bertanggungjawab untuk segera memperbaikinya demi memastikan bencana yang sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ini berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari.

Menurutnya, rakyat negeri itu khasnya di sebahagian besar daripada sembilan daerah teruk terjejas dengan bencana banjir yang melanda pada 18 Disember lalu.

- Advertisement -

Tambahnya, akibat purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 mililiter pada hari berkenaan selain kesan air laut pasang besar, nyawa terkorban di samping turut musnah harta benda dan kemudahan infrastruktur rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan PH negeri terbukti tiada perancangan yang komprehensif menghadapi kompleksiti banjir bandar (urban flooding) sebagaimana diutarakan oleh Perdana Menteri sehingga mencetuskan situasi kelam kabut dengan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasinya pada hari pertama dan hari-hari berikutnya.

“PAS Selangor kesal akibat kelemahan dan kegagalan ini rakyat yang terjejas telah menjadi mangsa dan terpaksa menanggung sengsara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri sendiri sebagaimana dijelaskan di Dewan Rakyat terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Selangor membuktikan betapa lemah dan tidak bersedianya kerajaan PH negeri dalam menghadapi saat cemas itu.

“Apapun biarlah bencana ini menjadi pengajaran kepada semua pihak khasnya kerajaan PH Selangor,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Negeri Sijangkang.

Justeru, kata beliau langkah-langkah segera perlu diambil untuk mengatasi segala kelemahan yang digariskan oleh Perdana Menteri termasuklah memperbaiki pengurusan dan komunikasi di peringkat negeri dan daerah.

Selain itu, tambah beliau kerajaan negeri khasnya PBT perlu mengambi langkah drastik bagi mengurangkan risiko berulangnya bencana seumpama itu dengan memastikan saluran longkang monsun sentiasa diurus dengan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap.

“Ini bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, tetapi ini masanya untuk memastikan rakyat khasnya di Selangor tidak lagi menjadi mangsa akibat kecuaian dan kelemahan pentadbiran negeri,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -