Ismail Sabri capai 72.2 peratus janji transformasi

- Advertisement -

SEPERTIMANA diketahui, antara langkah terawal Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, selepas menjawat jawatan itu pada 20 Ogos 2021 adalah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September 2021.

Tidak seperti didakwa oleh sesetengah pihak, pemeteraian MoU ini bukanlah bermatlamatkan untuk menjaga kedudukan Ismail Sabri dan kerajaannya dari digugat, sebaliknya ia mempunyai tujuan murni selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

- Advertisement -

Sebab itulah tercatat dalam mukadimah MoU ini titah nasihat Duli-Duli Yang Maha Mulia mengenai perlunya satu pendekatan baru kerjasama ‘dwi-partisan’ untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Kini, setelah lebih empat bulan MoU ini dimeterai, penularan wabak COVID-19 terkawal, pemulihan ekonomi tergambar serta pengwujudan lanskap politik baru yang melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan semakin terhasil.

Kesemua perkembangan positif ini adalah manifestasi kepada keikhlasan dan kesungguhan Ismail Sabri untuk mengotakan apa yang dijanjikan kepada PH melalui MoU ini demi memastikan wabak COVID-19 dibendung dan pemulihan ekonomi negara berjalan lancar.

Memudahkan lagi perlaksanaan kesemua butiran MoU ini adalah kerana Ismail Sabri mempunyai seorang Ahli Parlimen yang benar-benar komited, iaitu Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Wan Junaidi, ketika ditemui di pejabat beliau kelmarin, menyatakan bahawa pujian harus diberikan kepada Ismail Sabri kerana sentiasa menanyakan beliau mengenai perkembangan pelaksanaan kesemua butiran MoU ini, termasuk paling terbarunya pada 14 Januari lalu.

Keikhlasan dan kesungguhan Ismail Sabri untuk merealisasikan kesemua butiran MoU ini juga terlihat di dalam penubuhan Jawatankuasa Pemandu yang bertindak sebagai perunding, pemudah cara dan perwakilan sah bagi kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan PH.

Jawatankuasa Pemandu ini telah sentiasa bermesyuarat dari masa ke semasa untuk memantau perkembangan pelaksanaan kesemua butiran MoU ini bermula daripada mesyuarat pertamanya pada 27 September 2021 hingga ke mesyuarat terakhirnya pada 19 Januari lalu.

Paling menarik ialah bila seorang wakil PH di dalam Jawatankuasa Pemandu ini, iaitu Fahmi Fadzil, telah menulis: “Setakat 19 Januari 2022, 13 dari 18 perkara yang terkandung dalam MoU telah dilaksana. Ini bererti 72.2 peratus dari kesemua perkara telah dilaksana.”

Secara lebih spesifiknya, MoU ini mengandungi 18 butiran, iaitu tujuh butiran membabitkan Pemerkasaan Pelan COVID-19, enam butiran membabitkan Pembaharuan Parlimen, tiga butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran, satu butiran membabitkan Perjanjian Malaysia MA63 dan satu butiran membabitkan Kebebasan Institusi Kehakiman.

Sepertimana dijelaskan oleh Fahmi Fadzil dan disahkan oleh Wan Junaidi, kesemua tujuh butiran membabitkan Pemerkasaan Pelan COVID-19, empat butiran membabitkan Pembaharuan Parlimen, satu butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran dan satu butiran membabitkan Perjanjian Malaysia MA63 yang terkandung di dalam MoU ini telah berjaya direalisasikan.

Baki lima daripada keseluruhan 18 butiran MoU yang belum berjaya direalisasikan ialah dua butiran membabitkan Pembaharuan Parlimen, dua butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran dan satu butiran membabitkan Kebebasan Institusi Kehakiman.

Dua butiran membabitkan Pembaharuan Parlimen yang belum berjaya direalisasikan ialah “membentangkan dan meluluskan Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen untuk mewujudkan semula kebebasan kewangan dan pentadbiran Parlimen” serta “melaksanakan pindaan-pindaan yang perlu kepada Peraturan Mesyuarat (Standing Order)”.

Mengikut Wan Junaidi, pelaksanaan kedua-dua perkara ini, khususnya Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen, memerlukan rundingan dengan beberapa pihak yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

Walaupun prosesnya akan memakan masa tetapi ia masih di dalam jangka waktu yang ditetapkan kerana ia dijanjikan untuk dilaksanakan dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Kedua Penggal Ke-5 Parlimen (tahun 2022) manakala impaknya pula adalah besar.

“Setelah Undang-undang berkaitan Perkhidmatan Parlimen diluluskan, Parlimen akan mempunyai kebebasan kerana urusan-urusan seperti pengambilan serta penentuan gaji dan pencen pegawai Parlimen akan dibuat oleh satu suruhanjaya yang tersendiri.

“Selepas undang-undang ini diluluskan, Menteri tidak akan lagi boleh mengawal urusan di Parlimen, sebaliknya apa yang mampu dilakukan hanyalah mengawal urusan kerajaan di Parlimen seperti bila Rang Undang-undang kerajaan akan naik,” kata Wan Junaidi.

Butiran membabitkan Kebebasan Institusi Kehakiman pula adalah satu perkara terbuka yang tidak menjanjikan apa-apa transformasi spesifik, iaitu “memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman, transformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik”.

Paling penting adalah dua butiran membabitkan Transformasi Pentadbiran, iaitu pembentangan dan kelulusan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti dan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi sepuluh (10) tahun.

Mengikut Wan Junaidi, mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pemandu pada 19 Januari lalu telah bersetuju bahawa kedua-dua Rang Undang-Undang ini akan dibentangkan mengikut jangka waktu yang ditetapkan, iaitu dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Parlimen (tahun 2022) yang akan bermula pada 28 Februari depan.

“Jawatankuasa Pemandu juga telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal yang dianggotai oleh empat wakil Kerajaan dan empat wakil PH yang akan bertemu pada 25 Januari depan untuk memperincikan perkara dasar dan kerangka perundangan yang dicadangkan”.

“Saya bekerja siang dan malam sekarang bagi memastikan walau apa cara sekalipun perkara dasar dan kerangka perundangan ini akan dapat diselesaikan pada 25 Januari depan kerana hasilnya akan kami bentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu pada 10 Februari depan,” tegas Wan Junaidi.

Begitulah tingginya komitmen Ismail Sabri dan Wan Junaidi di dalam menunaikan janji.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Timbalan Presiden 
Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) – HARAKAHDAILY 22/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -