Imbas kembali punca konflik Iran dan Amerika Syarikat

- Advertisement -

PADA 19 Januari lalu, sudah 41 tahun Algiers Accord atau Perjanjian Algiers yang ditandatangani pada 19 Januari 1981 di Algiers, Algeria telah berlalu, iaitu perjanjian di antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran yang baru diwujudkan dalam usaha untuk menamatkan krisis tebusan kakitangan kedutaan dan warga Amerika Syarikat di Tehran, Iran dan pembebasan aset Iran yang telah dibekukan oleh Amerika Syarikat.

Walaupun perjanjian tersebut telah membawa kepada pembebasan kakitangan Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran, namun sejarah hubungan dan konflik antara kedua-dua negara masih kekal tegang sehingga ke hari ini dengan pelbagai sekatan dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Iran di samping ketegasan Iran menentang sikap “imperialisme“ Amerika Syarikat.

Namun ramai di antara kita terutamanya anak muda hanya mengetahui tentang konflik Iran-Amerika Syarikat di saat ini terutamanya krisis perjanjian nuklear Iran, pembunuhan komander tentera Al Quds, Qassim Soleimani serta pembunuhan saintis termuka Iran Mohsen Fakhrizadeh tetapi sebenarnya konflik Iran-Amerika Syarikat telah lama berlaku terutamanya sejak Revolusi Islam Iran 1979.

Selepas kejatuhan rejim Shah Iran, Mohamed Reza Pahlavi berikutan kebangkitan rakyat yang membawa kepada penubuhan Rebublik Islam Iran pada 1979, sekumpulan pelajar pro revolusi yang dianggarkan di antara 300 hingga 500 orang telah menyerbu Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran pada 4 November dan telah menjadikan 65 orang warga Amerika Syarikat sebagai tebusan.

- Advertisement -

Kejadian tersebut dikatakan berlaku sebagai tindak balas terhadap keberadaan Shah Iran di Amerika Syarikat untuk rawatan perubatan selama berminggu-minggu sebelum tumbangnya beliau dari singgahsananya. Disebabkan itu, pelajar-pelajar tersebut menuntut ekstradisi beliau untuk kembali ke Iran bagi menghadapi kemarahan dan kebangkitan rakyat di samping menghadapi hukuman rakyat Iran.

Pada minggu pertama krisis tebusan tersebut, seramai 13 orang tebusan dibebaskan iaitu kesemua tebusan wanita termasuk warga kulit hitam kerana mereka dianggap sebagai golongan minoriti yang ditindas. Manakala baki tebusan tersebut telah ditahan selama 444 hari.

Presiden Amerika Syarikat ketika itu Jimmy Carter telah bertindak balas terhadap insiden tersebut dengan mengenakan sekatan terhadap Iran iaitu memutuskan hubungan ketenteraan dan perniagaan minyak mentah termasuk mengenakan pembekuan terhadap aset-aset milik Iran. Ini diikuti dengan terputusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 7 April 1980.

Pada ketika itu juga, telah dilakukan misi menyelamat oleh Amerika Syarikat untuk membebaskan warganya namun menemui kegagalan hingga menyebabkan kematian lapan anggota tentera komandonya apabila ribut pasir menghempaskan helikopter yang dinaiki oleh mereka.

Kesemua baki tebusan tersebut kemudiannya dibebaskan pada 20 Januari 1981 selepas Ronald Reagan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat dan kekalahan Jimmy Carter dalam Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada 1980 tersebut adalah akibat kegagalannya dalam mengurus krisis tersebut.

Algeria dan Switzerland dikatakan memainkan peranan utama dalam rundingan tersebut dengan mewakili kepentingan Amerika Syarikat dan Iran. Algeria menjadi pengantara utama dalam perjanjian tersebut di samping mengawasi dan mengusahakannya hingga termeterailah apa yang disebut sebagai Algiers Accord atau Perjanjian Algiers.

Hasil daripada perjanjian tersebut ialah pembebasan baki tebusan yang ditahan di samping penubuhan tribunal khas untuk menyelesaikan ratusan pertikaian perdagangan dan komersial antara kedua-dua negara termasuk pembebasan aset-aset Iran yang dibekukan dan tribunal tersebut masih lagi wujud di The Hague, Belanda sehingga ke hari ini.

Dalam salah satu keputusan tribunal yang dianggap paling kontroversi ialah pada 2016 apabila ia memberikan keputusan penyelesaian yang memihak kepada Iran berjumlah $1.7 bilion berikutan perjanjian pembekalan peralatan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Iran sebelum berlakunya revolusi yang tidak disempurnakan Amerika Syarikat.

Peruntukan-peruntukan penting lain yang terdapat di dalam perjanjian tersebut juga termasuk persetujuan Amerik Syarikat untuk tidak masuk campur dalam soal ketenteraan dan politik Iran, komitmen Amerika Syarikat untuk mengugurkan semua tuntutan terhadap Iran di Mahkamah Amerika Syarikat termasuk tuntutan prospektif oleh tebusan-tebusan yang terlibat.

Amerika Syarikat juga bersetuju untuk mengembalikan aset dan harta kepunyaan Shah Iran dan keluarganya kepada Iran namun ia hanya dipenuhi sebahagiannya oleh Amerika Syarikat berikutan kerumitan proses perundangan dan mahkamah Amerika Syarikat.

Pada 20 Januari 1980, kesemua baki tebusan warga Amerika Syarikat yang dibebaskan tiba di Algiers, Algeria dan seminggu kemudian pulang ke Amerika Syarikat. Bertentangan dengan syarat perjanjian yang dipersetujui, Amerika Syarikat tidak menarik balik kesemua sekatan dan tidak mematuhi prinsip untuk tidak campur tangan di Iran.

Pentadbiran Ronald Reagan sebagai contoh membiayai kumpulan pembangkang Iran yang berada di luar Iran untuk menentang Repubik Islam Iran di mana mereka diklasifikasi oleh Kerajaan Iran sebagai pengganas.

Namun kesan keseluruhan Perjanjian Algiers sebenarnya lebih memihak kepada Amerika Syarikat berbanding Iran yang semakin terpencil dan terpinggir seperti negara buangan. Kedudukan ekonomi dan politik Iran yang lemah juga menjadikannya “mangsa“ berikutan pencerobohan Saddam Hussien ketika perang Iraq-Iran dari tahun 1980-1988.

Di Iran, penyokong Ayatollah Ruhollah Khomeinei menggunakan keadaan semasa ketika itu untuk menyatukan serta mengukuhkan kuasa di samping mengembelingkan usaha menentang kumpulan dan ahli politik yang condong kepada barat.

Walau bagaimanapun, di sebalik usaha Iran untuk “mempotretkan“ krisis semasa dan Perjanjian Algiers sebagai kemenangan ke atas Amerika Syarikat, Abdolhassan Bani Sadr, Presiden Iran dan Mehdi Bazargan Perdana Menteri Iran ketika itu agak kritikal terhadap perjanjian tersebut dan merasakan Iran gagal kerana tidak berupaya memperolehi harta Shah Iran dan membebaskan aset-aset Iran yang dibekukan.

Perjanjian Algiers dan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada perjanjian tersebut iaitu krisis tebusan dan rampasan kuasa yang disokong oleh Amerika Syarikat yang membawa kepada Shah Iran berkuasa kembali di Iran buat kali kedua telah membawa kepada pertembungan sengit Iran-Amerika Syarikat sehingga saat ini.

Ia juga telah menyebabkan terbentuknya dasar “keras“ Amerika Syarikat yang agak konsisten terhadap Iran dan Presiden-Presiden Iran seterusnya terutamanya dalam bentuk sekatan ekonomi, ketenteraan dan lain-lain lagi.

Sebaliknya Iran juga telah menggunakan pengalaman tersebut untuk berdikari di peringkat antarabangsa dengan acapkali menyebut tentang Perjanjian Algiers sebagai perjanjian yang sah ditandatanganinya dengan Amerika Syarikat yang mensyaratkan agar Amerika Syarikat agar tidak masuk campur hal ehwal dalaman Iran.

Maka mungkin disebabkan pengalaman-pengalaman tersebut Iran kini amat berhati-hati dengan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya sebagaimana ketika ini berlangsung rundingan terbaharu mengenai Perjanjian Nuklear Iran 2015 yang sehingga kini nampaknya belum menghasilkan keputusan yang diharapkan oleh Iran.

Iran ketika ini hanya menuntut agar segala sekatan ditarik balik dan menggunapakai syarat-syarat asal Perjanjian Nuklear Iran 2015. Ketika ini kelihatan Amerika Syarikat dan sekutunya seperti bermain tarik tali apatah lagi dengan rejim zionis Israel senantiasa mengancam untuk menyerang Iran jika perjanjian tersebut diaktifkan semula.

Jika Perjanjian Algiers masih terdapat banyak syarat-syarat yang tidak dikotakan oleh Amerika Syarikat sehingga kini, apakah jika dipersetujui perjanjian baharu atau diaktifkan semula Perjanjian Nuklear Iran 2015, adakah Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya akan mengotakan janjinya?

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Jika berpaksikan kepada sejarah, pastinya anda semua mengetahui apa yang tersirat di sebalik semua ini kerana apa yang pasti, Islam dan umatnya kini sedang berada dalam fasa di mana ia sedang ditekan mahupun ditindas dari setiap sudut.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan dan keberkatan. Moga-moga Islam dan umatnya akan bangkit kembali dan memperolehi kemenangan, insya-Allah.

Islam Menyatukan Ummah

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -