Assabiqun: Tambah kekuatan, kesepaduan dalam PAS

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

PAS
memiliki aset yang sangat kukuh melalui gandingan ‘orang lama’ dengan orang muda yang mampu menyerlahkan lagi kekuatan parti yang sudah berusia 70 tahun.

Hasil komited pejuang-pejuang PAS terdahulu antaranya Almarhum Haji Yusof Rawa; Dato’ Fadzil Mohd Noor; Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat; Dato’ Dr Haron Din yang tidak pernah mengenal penat lelah, maka hari ini veteran-veteran PAS yang sarat dengan pengalaman dalam politik dan dakwah diberi pengiktirafan dalam PAS dengan penubuhan Sidang Assabiqun.

Meneliti ucapan Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed ketika merasmikan Hari Keluarga Assabiqun PAS Perak, membuktikan bahawa Assabiqun merupakan satu entiti yang sangat penting dalam perjuangan PAS.

Penglibatan Assabiqun yang banyak pengalaman ini, menambahkan kekuatan dan kesepaduan PAS ini sehingga disegani oleh pihak lawan. Ini kerana Assabiqun bukan kumpulan ahli biasa tetapi satu organisasi yang menghimpunkan bekas-bekas pimpinan yang berpengalaman luas, bekas Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS negeri, timbalan pesuruhjaya, Ketua-ketua Dewan Ulamak, Dewan Muslimat negeri-negeri, exco-exco kerajaan dan pimpinan di peringkat negeri dan juga kawasan.

- Advertisement -

Justeru, anak-anak muda khususnya yang baru berjinak-jinak dengan PAS, sewajarnya mendekati dan menggunakan peluang untuk mencedok ilmu dan pengalaman daripada setiap ahli dan pimpinan Assabiqun.

70 tahun PAS sudah berada di gelanggang politik dan dakwah. Sempena sambutan itu, Assabiqun PAS Perak mengambil kesempatan ini dengan mengadakan Hari Keluarga Assabiqun di Kompleks Tarbiyah PAS Kawasan Gerik, Kampung Kerunai, Gerik, baru-baru ini.

Di dalam ucapan perasmian, Dr Mahfodz mengingatkan semua ahli Assabiqun bahawa perjuangan dalam PAS itu tidak ada noktahnya walaupun sudah tidak ada jawatan dalam parti. Maka setiap ahli PAS perlu meneruskan perjuangan dalam apa juga keadaan.

Katanya, Allah akan melindungi dan memelihara hamba-Nya yang bergerak aktif dalam perjuangan Islam bahkan Allah berikan kesihatan yang baik kepada mereka.

Selepas bersara sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1999, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melantik beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Johor dari tahun 2005 hingga 2015.

“Alhamdulilah dengan amanah yang diberikan itu, saya dapat meneruskan perjuangan dalam PAS. Saya masuk PAS atas kehendak saya sendiri. Saya berada dalam PAS dengan niat untuk tolong PAS terutama PAS Johor.

“Selepas sebulan saya bersara, Pesuruhjaya PAS Selangor (ketika itu – 1999) Almarhum Ustaz Hassan Shukri meminta saya bertanding di Batu 3, Shah Alam dalam pilihan raya umum.

“Oleh kerana pimpinan parti minta saya bertanding, maka saya terima pelawaan itu. Saya tiada pengalaman untuk bertanding, dan inilah kali pertama saya bertanding dalam PRU pada tahun 1999,” katanya.

Walaupun kalah dalam PRU namun beliau terus istiqamah dalam perjuangan PAS sehingga kini.

Katanya, kalah dalam PRU tidak bermakna terus menghilangkan diri atau lompat ke parti lain kerana perjuangan PAS itu perlu kepada istiqamah.

Istiqamah

Beliau menjelaskan bahawa istiqamah dalam erti kata yang sebenarnya adalah meneruskan landasan yang betul dengan menunaikan segala perintah dan kehendak Allah serta berterusan menjauhi larangan-larangan Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila ditanya oleh sahabat, beritahu kepadaku ya Rasulullah satu ucapan yang tidak akan ku tanya selain kepada Nabi Muhamamad SAW. Maka jawab Nabi Muhammad SAW; “Katakanlah aku beriman dan beristiqamah.”

Justeru kata beliau, untuk istiqamah tidak boleh melakukan bersendirian, berkurung di dalam rumah walaupun dalam keadaan sudah tua. Mesti terus bersama-sama dengan jemaah kerana tanpa jemaah kita tidak akan ke mana-mana.

Sebab itu Saidina Umar Al Khattab berkata; “Tidak ada erti Islam kalau tidak dengan jemaah. Tidak ada jemaah melainkan dengan kepimpinan dan tidak ada kepimpinan melainkan dengan adanya taat dan walaq.”

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT apabila Almarhum Haji Subki Latif meninggal dunia (ketika itu saya sudah ada jawatan pengarah pilihan raya) Tuan Guru Presiden beri amanah kepada saya untuk menjadi Pengarah Assabiqun PAS Pusat.

“Apabila saya diberi amanah, saya akan bekerja bersungguh-sungguh.”

Beliau bersyukur dengan kerjasama Sidang Assabiqun seluruh Malaysia maka Assabiqun yang dianggotai oleh veteran PAS terus melangkah ke hadapan. Kalau dahulu Assabiqun orang tidak kenal, sekarang semakin dikenali dan bertambah maju. Kalau dahulu Sidang Assabiqun tidak ada perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS, maka dua tahun lepas kita telah dijemput menjadi perwakilan daripada AsSabiqun seramai 15 orang, sama dengan perwakilan daripada Dewan-dewan dan DHPP.

Pada Muktamar Tahunan PAS 2021, beliau telah diberi penghormatan untuk mengambil bahagian dalam sesi penggulungan perbahasan, sama seperti ketua-ketua dewan yang lain.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pimpinan PAS Pusat kerana memberi peluang dan ruang untuk AsSabiqun terus maju,” katanya. 

Hari Assabiqun sangat bermakna

Alhamdulillah sambutan Hari AsSabiqun peringkat negeri Perak yang diadakan di Kompleks PAS Gerik sangat bermakna.

Beliau teruja apabila dimaklumkan jumlah Assabiqun di Perak dalam anggaran 30,000 orang.

Katanya, Almarhum Subky Latif mengganggarkan Assabiqun di seluruh Malaysia mencapai 400,000 orang. Ini membuktikan bahawa peranan Assabiqun sangat penting.

Beliau mengingatkan ahli Assabiqun supaya jangan berasa rendah diri manakala masyarakat di luar daripada Assabiqun jangan memandang rendah kepada kemampuan orang-orang lama yang banyak pengalaman.

“Saya yakin, insya-Allah Assabiqun akan setanding dengan dewan-dewan yang ada dalam PAS, lebih-lebih lagi kalau betul Assabiqun di seluruh Malaysia ada 400,000 orang, maka ini adalah organisasi yang paling kuat sekali dalam PAS,” katanya.

Bagi membuktikan anggaran itu tepat, beliau berharap kepada Sidang Assabiqun negeri dan kawasan-kawasan menjejaki Assabiqun di kawasan masing-masing.

Katanya, sekiranya Assabiqun di Perak dapat 30,000, Kedah 50,000, Johor 15,000, Perlis 10,000, Kelantan dan Terengganu 50,000. Begitu juga dengan negeri-negeri lain maka satu himpunan besar akan diadakan.

Sambutan Hari Assabiqun PAS Perak ini merupakan program pertama Assabiqun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi sesi 2021-2023.

Beliau memaklumkan Assabiqun adalah bekas-bekas pemimpin sama ada di peringkat kawasan, negeri dan pusat. Sebenarnya untuk menguruskan Assabiqun itu lebih senang berbanding dengan dewan-dewan kerana ahli yang ada dalam Assabiqun ini adalah bekas-bekas pemimpin.

Imbangi orang muda dan orang lama

“Peranan kita sebagai orang tua. Mungkin ada hikmah disebalik melantik Assabiqun untuk duduk bersama-sama dalam Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Saya rasakan betapa pentingnya peranan Assabiqun untuk mengimbangi antara orang muda dengan orang yang berpengalaman. Orang tua yang banyak pengalaman ini tidak segan silu untuk memberikan teguran dan nasihat kepada semua yang terlibat dalam AJK PAS Pusat. Kalau berlaku krisis kecil atau besar maka AsSabiqun berperanan untuk meredakan keadaan itu,” jelasnya.

Memandangkan peranan Assabiqun penting, beliau berkata, pimpinan Sidang Assabiqun Pusat sedang merangka hala tuju kerana organisasi ini bukan sampingan dalam PAS.

Katanya, Assabiqun seperti dewan-dewan yang lain bekerja dalam pilihan raya dan mempunyai Ketua Penerangan.

Beliau bangga kerana AJK Assabiqun telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Tarbiyah. Assabiqun juga mempunyai lajnah tarbiah untuk mentarbiah ahli-ahlinya.

Kata beliau, tarbiah ahli itu penting jika tidak ia akan berlaku sebagaimana yang pernah berlaku dalam PAS iaitu lari meninggalkan PAS.

“Kalau cukup tarbiah, insya-Allah tidak akan lari kerana Allah SWT menjanjikan kepada kita, pejuang-pejuang ini adalah kesinambungan daripada perjuangan nabi kita Muhamamad SAW.

PAS mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Nabi sebagai Rasul, nabi juga sebagai pemimpin dan sebagai ketua negara. Sebab itulah daripada dahulu kita menyatakan bahawa Islam dan PAS tidak boleh dipisahkan kerana politik adalah sebahagian daripada Islam. Nabi Muhammad SAW berhijrah kerana hendak membuktikan bahawa antara politik dengan Islam tidak boleh dipisahkan.

Justeru itu, Nabi Muhammad SAW dapat merangka satu piagam Madinah itu membuktikan bahawa Islam tidak boleh dipisahkan dengan politik.

Sokongan tidak berbelah bahagi

Kita akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan PAS yang sedia ada. Kita sebagai orang tua mesti bertindak secara matang dan waras dan jangan bertindak ikut nafsu. Ini kerana kita ini sebagai penyokong kuat kepada perjuangan PAS, tidak kira siapa yang memimpin. Selama dipimpin berlandaskan al Quran dan as Sunnah, insya Allah Assabiqun akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Semoga apa sahaja yang telah kita lakukan akan menjadi amal jariah selepas kita tiada di dunia ini, insya-Allah. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -