Ahmad Amzad agih 2,000 pek makanan sejuk beku

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Datuk Ahmad Amzad Hashim menyediakan 2,000 pek makanan sejuk beku untuk diagihkan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Setiap DUN diagihkan 500 pek makanan itu selepas solat Jumaat semalam yang melibatkan Masjid Lama Sungai Rengas (DUN Wakaf Mempelam), Masjid Kampung Kolam (DUN Batu Burok) dan Masjid Losong Haji Mamat (DUN Bandar).

- Advertisement -

Pengagihan itu dilakukan oleh Pembantu Khas Parlimen masing-masing bagi mewakili Ahmad Amzad selaku Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara pengagihan bagi DUN Ladang akan dilakukan pada minggu depan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau semalam dinyatakan bahawa hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari.

Hari Jumaat juga adalah hari yang teramat istimewa kerana Islam meletakkan hari Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding dengan hari-hari yang lain.

Dalam pada itu, di Masjid Lama Sungai Rengas, Khutbah Jumaat disampaikan oleh imamnya, Ustaz Zulhilmi Abu Bakar dengan tajuk ‘Dunia Fatamorgana’.

Sehubungan itu, pihak masjid dan seluruh jawatankuasa termasuk ahli kariah kampung berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di atas sumbangan itu. – HARAKAHDAILY 22/1/2022

- Advertisement -