PAS junjung kasih kepada Agong perkenan RCI Tabung Haji

Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR: PAS menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong kepada penubuhan RCI TH menyerlahkan bahawa ketelusan dan wibawa sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.

Sehubungan itu, ujarnya PAS berkeyakinan penuh Jawatankuasa RCI TH yang akan dianggotai enam tokoh dan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif selaku Pengerusi akan menjalankan siasatan profesional yang telus, bebas dan menyeluruh terhadap pengurusan dan operasi TH mulai tahun 2014 hingga 2020 bagi merungkai segala dakwaan terhadapnya sebelum ini.

Advertisement

“PAS menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah atas perkenan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berharap semoga TH akan dipacu dengan lebih efisyen dan berintegriti, menjadi institusi kebanggaan umat Islam di negara ini dan juga teladan kepada dunia, khususnya dalam urusan ibadah haji yang menjadi jihad umat.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kerajaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong penubuhan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH.

Katanya, penubuhan RCI itu dibuat selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].

Tambahnya, suruhanjaya itu diberikan tempoh selama enam bulan bagi melaksanakan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, ahli-ahli yang dilantik telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata, pelantikan itu berkuat kuasa dari 20 Januari hingga 19 Julai 2022. – HARAKAHDAILY 21/1/2022