Jawi perkasa jati diri dan budaya Malaysia

- Advertisement -

IPOH: Majlis Daerah Batu Gajah mengangkat penggunaan tulisan jawi di dalam papan iklan dan premis perniagaan di daerah itu merupakan satu langkah memperkasa jati diri dan budaya masyarakat Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Khalil Yahaya berkata, Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 152 ada menyebutkan Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa utama dan rasmi. 

- Advertisement -

“Manakala tulisan dalam Bahasa Melayu adalah tulisan Jawi dan Rumi. Justeru tulisan jawi adalah tidak asing dan ianya merupakan khazanah negara yang wajar diangkat kerana tulisan ini pernah menjadi tulisan lingua franca.

“Dewan Bahasa Dan Pustaka pula harus dijadikan rujukan utama dalam menentukan struktur ejaan yang tepat dan selaras dengan perkembangan sistem ejaan Jawi yang terkini,” ujarnya.

PAS Perak katanya, menyeru agar seluruh majlis daerah dan masyarakat umum untuk menyemarakkan budaya menggunakan tulisan jawi sebagaimana yang telah dilaksanakan di dalam kawasan seperti di Selama dan Seri Iskandar. 

Tegasnya, PAS Perak menyokong penuh sekiranya tulisan Jawi dapat diselaraskan di seluruh negeri itu setelah sekian lama usaha ke atas tulisan tersebut diabaikan selama ini. – HARAKAHDAILY 21/1/2022

- Advertisement -