Bukan semua perkara boleh dijadikan senda gurau

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Islam merupakan agama yang membimbing manusia terhadap semua aktiviti kehidupan daripada sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar perkara.

Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata, kesempurnaan ajaran Islam bukan sahaja khusus kepada amalan ibadah seharian, malah merangkumi tatacara kehidupan seperti ekonomi, politik, adab, pendidikan dan sebagainya.

- Advertisement -

“Sejak akhir-akhir ini, kita menyaksikan kejahilan anak muda dalam bersenda gurau di laman media sosial.

“Belum pun reda isu ‘Unboxing’ isteri menerusi aplikasi TikTok, kini tular pula anak muda mempermainkan ayat Al-Quran untuk dijadikan nama wifinya.

“Lebih parah, ia disambut dengan komen dari kawan-kawan yang lain dengan turut mempersendakan ayat tersebut,” katanya.

Perkara itu, ujarnya jelas menunjukkan kejahilan anak muda kini yang semakin menjadi-jadi sehingga tidak merasa bersalah mempermainkan ayat Al-Quran, malah dianggap hanya gurauan biasa.

Justeru, beliau mewakili anak muda, menyeru golongan itu supaya lebih berhati-hati dengan setiap perkataan atau perbuatan walaupun sekadar gurauan.

“Tidak semua perkara dalam kehidupan boleh dijadikan bahan senda gurau serta janganlah suka meniru orang lain yang akhirnya merugikan diri sendiri.

“Sentiasa menggunakan masa muda yang ada dengan mempelajari ilmu agama yang akan menyelamatkan kehidupan di dunia dan akhirat,” ujarnya lagi.

Baru baru ini tular di media sosial tentang penggunaan ayat dalam surah Al -Inshirah sebagai pengecam set perkhidmatan (ssid) wifi dengan menggunakan bahasa yang tidak sepatutnya.

Malah, perkara itu disambut dengan komen penyambungan ayat surah dengan bahasa yang sama. – HARAKAHDAILY 21/1/2022

- Advertisement -