UPM hasil 400 graduan PhD setahun perkara biasa

- Advertisement -

KAJANG: Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat bahawa keupayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menghasilkan hampir 400 graduan Doktor Falsafah (PhD) setahun adalah perkara biasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata malah jumlah itu juga boleh ditingkatkan selain jumlah yang sama turut dicapai universiti luar negara.

- Advertisement -

“Dari segi pencapaian dunia, seperti contoh Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang mengeluarkan 563 graduan PhD dan National University of Singapore seramai 557 orang.

“Jadi kalau itulah angkanya dan kita keluarkan 400 graduan PhD UPM, apa maknanya? Maknanya we are about the same (kami adalah lebih kurang sama)  atau pun kurang sikit saja daripada pencapaian dunia,” katanya ketika ditemui selepas program Minda Profesor Negara di sini hari ini.

Raduan berkata demikian ketika mengulas isu berkenaan yang dibangkitkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pada Selasa yang mempersoalkan keupayaan UPM menghasilkan jumlah graduan PhD yang didakwa terlalu ramai.

Raduan berkata berdasarkan prestasi semasa dalam kalangan universiti penyelidikan, UPM menghasilkan 457 graduan PhD setahun, Universiti Malaya (450), Universiti Kebangsaan Malaysia (516), Universiti Teknologi Malaysia (568) dan Universiti Sains Malaysia (431).

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa setiap graduan PhD akan melalui proses penyeliaan yang rapi oleh pensyarah berkelayakan PhD sebelum dianugerahkan Doktor Falsafah selain percaya polemik berhubung isu graduan PhD itu timbul disebabkan terdapat jurang komunikasi antara masyarakat umum, ahli politik dan ahli akademik.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Timbalan Pengerusi MPN Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata kerajaan perlu melaksanakan penambahbaikan terutamanya melibatkan aspek persaraan dalam kalangan ahli akademik bagi memastikan negara tidak kehilangan pakar.

Beliau berkata memandangkan universiti awam terikat dengan skim perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam, maka seperti mana penjawat awam yang lain, ahli akademik turut tertakluk kepada usia persaraan 60 tahun.

“Maka kita pun perlu pencen pada usia tersebut sedangkan ada yang menjadi profesor pada umur 50 atau 55. Ini boleh menjejaskan institusi pengajian tinggi kerana untuk melahirkan seorang profesor madya atau profesor mengambil masa 20 tahun. Elok mereka baru nak jadi profesor, sudah kena pencen.

Perkara berkaitan struktur pengajian tinggi perlu diperhalusi semula bagi memastikan negara tidak kehilangan pakar dalam bidang tertentu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -