Setiap keluarga perlu ada rancangan pemilikan rumah

- Advertisement -

MAZLEE dan Maziela (bukan nama sebenar) merupakan pasangan muda profesional yang baru sahaja membeli rumah. Mereka mampu memiliki sebuah pangsapuri tiga bilik di pinggir Lembah Kelang. Walau bagaimanapun memandangkan mereka belum lagi mempunyai anak, hanya satu dari tiga bilik di rumah mereka yang digunakan. Sementara dua bilik lagi dibiarkan kosong. Walaupun mereka mampu membayar pinjaman bank setiap bulan namun mereka merasa rugi kerana membayar untuk sesuatu yang mereka tidak gunakan.

Mereka pernah bercadang untuk menyewakan bilik-bilik yang tidak digunakan itu tetapi sudah tentu ia akan menimbulkan masalah kepada mereka. Masalah utama adalah keselamatan kerana terdapat orang luar di dalam rumah. Kehadiran orang luar juga akan mengganggu kehidupan pasangan tersebut. Justeru itu mereka tidak meneruskan cadangan itu.

- Advertisement -

Satu lagi pasangan yang menetap berhampiran adalah Haji Ramli dan Hajjah Ramlah (juga bukan nama sebenar) yang tinggal di sebuah rumah empat bilik. Pasangan ini telah bersara dan kesemua anak-anak mereka telah berkahwin serta memiliki rumah sendiri. Masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pasangan ini adalah serupa. Mereka hanya menggunakan satu bilik di kediaman mereka sementara bilik-bilik yang lain dibiarkan kosong.

Pasangan kedua ini juga telah memikirkan kemungkinan untuk menyewakan bilik-bilik kosong tetapi mereka akan berhadapan dengan masalah yang sama seperti pasangan profesional muda itu. Haji Ramli dan Hajjah Ramlah tidak perlu lagi membayar pinjaman bank setiap bulan tetapi aset yang mereka ada tidak dapat menjana sebarang pendapatan tambahan.

Kedua-dua pasangan ini merupakan contoh pusingan hidup sebuah keluarga. Ia bermula dengan sepasang suami dan isteri kemudian berakhir juga dengan suami dan isteri setelah anak-anak mereka dewasa dan meninggalkan mereka untuk berpindah ke kediaman mereka sendiri. Tetapi adakah reka bentuk kediaman kita hari ini mengambil kira pusingan hidup sedemikian? Sudah tentu tidak bagi kebanyakan kediaman kerana ia tidak anjal (flexible) yang sesuai sama ada untuk pasangan suami dan isteri atau juga untuk keluarga yang besar. 

Ini bermakna reka bentuk kediaman tersebut tidak mengambil kira kemungkinan bilik-bilik disewakan ketika pasangan itu belum memiliki anak dan apabila anak-anak mereka telah bekerja serta berkeluarga. Oleh yang demikian, kediaman-kediaman perlu direka bentuk agar keselamatan dan privacy pemilik rumah terjamin seperti lengkap dengan pintu keluar masuk dan kemudahan-kemudahan seperti tandas serta bilik mandi yang berasingan.

Ketika kita baru mencapai kemerdekaan, terdapat perumahan rakyat di negara kita seperti pangsapuri-pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur hanya memiliki satu bilik tidur. Kemudian kita bergerak ke hadapan kepada dua bilik tidur dan akhirnya kepada tiga bilik tidur. Hari ini kebanyakan perumahan rakyat dibina dengan 3 bilik tidur. 

Saya pernah berjumpa dengan seorang wakil kerajaan negeri dari luar Selangor dan dia berbangga kesemua perumahan rakyat di negeri beliau dilengkapi dengan tiga bilik tidur. Sebenarnya kita perlu bergerak lebih jauh ke hadapan. Kediaman perlu bermula dengan satu bilik untuk pasangan tanpa anak, kemudian menjadi dua bilik dan seterus tiga bilik apabila anak mereka bertambah. Akhirnya apabila satu demi satu anak mereka meninggalkan kediaman itu, bilangan bilik yang digunakan akan menjadi berkurangan sehingga hanya tinggal satu bilik untuk pasangan tersebut. Bilik-bilik yang tidak digunakan mungkin boleh disewakan atau dijadikan ‘homestay‘.

Hari ini memang ada pilihan untuk rakyat membeli kediaman yang lebih kecil untuk kediaman pertama mereka seperti ‘studio flat’ sama ada satu bilik atau tanpa bilik. Selepas beberapa tahun apabila kedudukan ekonomi mereka berkembang atau ahli keluarga mereka bertambah, mereka boleh melakukan ‘upgrade’ dengan membeli kediaman yang lebih besar. Namun begitu terdapat mereka yang hanya mahu membeli kediaman sekali di dalam seumur hidup mereka. Justeru itu kediaman yang anjal akan dapat disesuaikan dengan keperluan semasa keluarga mereka. Pada peringkat awal, mereka juga boleh menyewakan sebahagian dari kediaman mereka untuk menampung pembayaran balik pinjaman bank. Ini bermakna mereka boleh bermula dengan kediaman yang lebih besar walaupun kedudukan ekonomi mereka belum kukuh kerana akan dibantu melalui sewaan tersebut.

Ketika saya Exco Kerajaan Negeri Selangor saya pernah mencadangkan perkara ini kepada GLC di Selangor. Sebuah firma arkitek telah tampil dengan reka bentuknya tetapi ketika itu fokus kerajaan negeri adalah kepada perkara-perkara lain maka ia tidak diteruskan. Walau bagaimanapun cadangan ini jika dapat dilaksanakan akan dapat membantu rakyat. Mungkin ia telah dilaksanakan di dalam industri perumahan tetapi belum lagi untuk rumah mampu milik. Konsep ini bukan sesuatu yang baharu tetapi pernah diamalkan sebelum ini. Walau bagaimanapun ia perlu menjadi sesuatu yang dirancang dari awal dan bukan difikirkan setelah kediaman siap dibina. Mungkinkah terdapat GLC-GLC kerajaan negeri yang berminat dan tidak hanya terpenjara dengan reka bentuk perumahan rakyat yang tradisional?

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 20/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/5109487359070220/

- Advertisement -