KOTA KINABALU: Langkah PAS tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 membawa rahmat apabila parti itu mendapat kedudukan dalam kerajaan negeri secara anugerah.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, biarpun tidak menyertai pilihan raya, namun PAS diberi peluang untuk berada bersama kerajaan Sabah sehingga dapat duduk semeja dengan parti-parti kompenan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya hasil kesepakatan itu membolehkan parti-parti kompenan GRS termasuk SUPP, STAR dan PBS mengenali lebih dekat dengan pemimpin PAS bagi mendapatkan lagi hubungan.
“Ada pemimpin parti kompenan GRS bukan Islam tidak menyangka Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenali mereka ketika hadir pada perjumpaan bersama yang diadakan sebelum ini,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan rombongan Assabiqun dari Tumpat di sebuah restoran di sini malam tadi.
Hadir sama pada perjumpaan itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Abdul Hisham Othman, Setiausaha Kerja PAS Kelantan Mohd Yassin Yusoff, Pengarah Majlis Tindakan Dun Pasir Pekan Salahuddin Che Hussin dan Pengerusi Assabiqun PAS Tumpat Wan Zakaria Wan Sulaiman.
GRS merupakan gabungan yang dibentuk selepas PRN Sabah pada September 2020 yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PBS, SUPP dan STAR. Pada PRN tersebut PN menang 38 kerusi, Warisan Plus (32) dan Bebas (3).
Bagaimanapun sehingga sekarang empat wakil rakyat Warisan keluar daripada parti itu dan menyokong kerajaan GRS. Begitu juga wakil rakyat Bebas.
Ketika berucap sebelum itu Dr Aliakbar berkata, PAS bertapak di Sabah sejak 1986 dan menyertai pilihan raya pada tahun sama biarpun tidak pernah menang sehingga sekarang.
Namun kata beliau pada 2020 tanpa bertanding pada PRN wakil PAS dilantik sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Begitu juga di peringkat pusat, biarpun tanpa pilihan raya, namun PAS tiba-tiba turut diundang berada bersama kerajaan Persekutuan seperti yang ada sekarang. Inilah yang dinamakan anuerah yang Allah Taala beri kepada PAS tanpa disangka,” katanya.
Menurutnya juga ramai tidak sedar pengaruh PAS semakin berkembang di Sabah di mana selepas Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang pertama ditubuh pada 1987, sekarang meningkat kepada 127 dengan bilangan murid sehingga 8,000 orang.
Misalnya di Putatan Pasti menyediakan pendidikan percuma kepada anak penduduk bukan beragama Islam yang menghantar anak belajar di Pasti. – HARAKAHDAILY 20/1/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!