Keputusan SC perlu diterima semua pihak – PM

Berhubung dakwaan ke atas TS Azam Baki

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung akaun dagangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki perlu diterima semua pihak.

“SC sudah buat keputusan… (perkara ini) serah pada SC kerana ia melibatkan pembelian syer. Jadi SC dah buat keputusan dan kenyataan menyatakan tidak ada kes terhadap dia (Azam), jadi kita terima keputusan SC,” katanya.

Advertisement

Ismail Sabri berkata demikian kepada media ketika ditanya sama ada Azam akan diminta bercuti sementara menunggu siasatan terhadapnya selesai sepenuhnya, selepas pelancaran program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia oleh beliau di sini malam tadi.

SC hari ini membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu. 

Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa Azam ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan berkenaan.

“Sehubungan dengan ini, siasatan tersebut adalah berkaitan dengan isu sama ada telah berlaku pelanggaran di bawah seksyen 25(4) SICDA.

Seksyen 25(4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka di atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa,” kata SC dalam satu kenyataan semalam. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata siasatan dan keputusan daripada badan profesional seperti SC perlu diterima semua pihak dengan terbuka. 

“Jangan kita minta supaya dia (Azam) disiasat dan apabila sudah disiasat, keputusan telah dibuat tapi kita masih tak puas hati,” katanya. 

“Jangan kita fikir kita ikut kehendak kita. Kalau pembangkang rasa mesti ikut kehendak pembangkang, tidak boleh…dia kena terimalah keputusan daripada badan profesional seperti SC. Jadi kalau ada apa-apa nak tanya mengenai keputusan SC, pergi tanya SC,” katanya. 

Mengenai desas-desus Pilihan Raya Negeri Johor, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata sebarang keputusan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Tertinggi (MT) Umno juga tidak menyentuh mengenainya atau membincangkannya.

“Jika Menteri Besar rasa perlu ada pilihan raya, maka beliau akan menghadap Sultan (Johor). Jadi keputusan sepenuhnya bawah bidang kuasa Johor. Umno serahkan kepada Menteri Besar untuk buat keputusan,” katanya. 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini dilaporkan tidak menolak keperluan bagi mengadakan PRN Johor tetapi pada masa sama mengakui Dewan Undangan Negeri tidak boleh dengan sewenang-wenangnya dibubarkan. – BERNAMA