AS lancar 5G: Tiada kesan besar pada penerbangan

Selepas membatalkan penerbangan pada 19 Januari 2022 susulan perkhidmatan 5G dilancarkan di lapangan terbang Amerika Syarikat, Japan Airlines merancang untuk menyambung semula perkhidmatan ke AS pada hari ini, 20 Januari 2022 berikutan jaminan daripada pengawal selia syarikat penerbangan AS bahawa sebahagian perkhidmatan 5G berkenaan telah ditunda pelancarannya. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

NEW YORK: Syarikat gergasi telekomunikasi AT&T dan Verizon memulakan perkhidmatan 5G di Amerika Syarikat pada hari Rabu (19 Jan) tanpa gangguan besar terhadap sistem penerbangan, selepas pelancaran teknologi wayarles baharu itu dikurangkan dengan sebahagiannya ditunda.

Segelintir syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Japan Airlines mengalih keluar penerbangan ke Amerika Syarikat daripada jadual mereka pada Rabu, tetapi tidak ada pembatalan besar-besaran dan beberapa daripada syarikat itu berkata, mereka merancang untuk menyambung semula perkhidmatan pada hari ini, Khamis (20 Jan).

- Advertisement -

Pada 19:15 GMT Rabu, terdapat 261 penerbangan sama ada dirancang untuk berlepas atau mendarat di lapangan terbang AS telah dibatalkan, lapor laman web FlightAware

Antara syarikat penerbangan yang telah membatalkan penerbangan pada hari Rabu termasuklah Emirates, Air India, ANA dan Japan Airlines.

Kedua-dua ANA dan Japan Airlines bagaimanapun berkata, mereka akan kembali memulakan perkhidmatan pada hari ini selepas jaminan daripada pengawal selia di Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA).

“Memandangkan pelancaran sebahagian perkhidmatan 5G di AS kini telah ditangguhkan, operasi penerbangan ANA mulai Khamis, 20 Jan 2022 akan mengikut jadual biasa berdasarkan pemberitahuan FAA bahawa tiada isu keselamatan dengan operasi pesawat Boeing 777 ke lapangan terbang AS,” ujar  Presiden ANA, Yuji Hirako dalam satu kenyataan.

Terdahulu, AT&T dan Verizon telah membelanjakan berpuluh bilion dolar untuk mendapatkan lesen 5G pada tahun lepas tetapi kumpulan industri penerbangan telah menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan gangguan terhadap altimeter radio kapal terbang, yang boleh beroperasi pada frekuensi yang sama dan penting untuk mendarat pada waktu malam atau dalam cuaca buruk.

Pada Selasa (18 Jan), syarikat gergasi telekomunasi berkenaan telah bersetuju untuk mengurangkan pelancaran 5G berhampiran lapangan terbang berikutan bantahan daripada syarikat penerbangan AS, yang memberi amaran tentang gangguan besar-besaran. 

Sehubungan itu, Rumah Putih yang telah berunding dengan kedua-dua syarikat dalam industri penerbangan dan telekomunikasi terbabit, memuji langkah berkenaan. – AFP

- Advertisement -