Tulisan Jawi tidak ancam sesiapa

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan serta papan tanda tidak menjadi ancaman kepada mana-mana pihak.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata ia hanya usaha untuk menggalakkan dan mempromosikan penggunaan tulisan berkenaan di kawasan pentadbiran masing-masing.

- Advertisement -

Katanya, objektif pelaksanaan polisi ini adalah sebagai mekanisma bagi memperkasakan tulisan Jawi dalam kawasan pentadbiran selain memelihara warisan tulisan Jawi yang pernah digunakan sebagai penulisan dalam lingua franca suatu masa dahulu.

“Tulisan Jawi ini adalah salah satu bentuk tulisan di Malaysia yang tidak boleh dikaitkan sama sekali dengan agama.

“Meskipun dikaitkan dengan agama, agama rasmi Malaysia ialah agama Islam, sedangkan tulisan Jawi bukan melambangkan sesuatu agama. Ia merupakan bentuk tulisan yang digunakan pada waktu dulu,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan perkara dibangkitkan Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong mengenai rasional pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk memasukkan tulisan Jawi pada papan iklan dan papan tanda di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah, Perak.

Keong Siong mendakwa pengumuman itu melanggar hak peniaga tempatan untuk membuat pilihan serta beralasan kawasan berkenaan mempunyai penduduk bukan Islam lebih 80 peratus.

Razman berkata, tindakan Ahli Parlimen DAP berkenaan jelas menggambarkan Islamofobia yang wujud dalam diri beliau sehingga merasakan penggunaan tulisan Jawi menggugat fahaman agama penduduk di kawasan terbabit.

“Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam mereka ini menjadi fobia padahal tulisan Jawi tiada kena mengena dengan agama,” katanya.

Pada 31 Disember lalu, Majlis Daerah Batu Gajah, Perak mengeluarkan arahan terbaru untuk memasukkan tulisan Jawi pada papan tanda bukanlah perintah wajib, tetapi dasar untuk menggalakkan dan mempromosikan penggunaan tulisan Jawi di kawasan pentadbiran mereka.

Bagaimanapun, kata notis itu, bermula 1 Januari 2022, semua urusan berkaitan permohonan baru dan pembaharuan Lesen Premis Perniagaan dan iklan di kawasan Majlis Daerah Batu Gajah dikehendaki mematuhi peraturan berkenaan penggunaan tulisan Jawi bagi keterangan aktiviti perniagaan pada visual papan iklan atau papan tanda premis perniagaan masing-masing.

Hal yang demikian mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk MCA Batu Gajah yang menggesa majlis daerah menarik balik pengumuman itu dan menghormati hak peniaga tempatan untuk membuat pilihan. – HARAKAHDAILY 19/1/2022

- Advertisement -