‘Tiada isu, tak perlu buat isu’

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong membantah ketetapan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan di premis perniagaan dilihat sebagai langkah tidak harmoni.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Senator Dato’ Ahmad Yahya, berkata semua pihak termasuk ahli Parlimen perlu memainkan peranan agar tulisan Jawi kembali diperkasakan sebagai nilai budaya rakyat negara ini.

- Advertisement -

Katanya, semua pihak sepatutnya memurnikan persepsi masyarakat bukan Melayu bahawa tulisan Jawi adalah budaya masyarakat Malaysia dan bukan proses me-Melayukan mereka atau menyamakan tulisan jawi dengan agama Islam.

Mengulas lanjut kata beliau, sebelum kemerdekaan negara, tulisan Jawi bukan sahaja dikuasai orang Melayu, tetapi bangsa lain yang berhijrah ke Tanah Melayu.

“Ramai orang Cina mampu menguasai tulisan jawi khususnya mereka yang datang ke Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.

“Contohnya orang Cina dari Kelantan ramai juga yang menguasai tulisan Jawi,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily,semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara dibangkitkan Keong Siong mengenai rasional pihak berkuasa mengeluarkan arahan untuk memasukkan tulisan Jawi pada papan iklan dan papan tanda di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Batu Gajah, Perak.

Keong Siong mendakwa pengumuman itu melanggar hak peniaga tempatan untuk membuat pilihan serta beralasan kawasan berkenaan mempunyai penduduk bukan Islam lebih 80 peratus.

Dalam pada itu Ahmad berkata, penggunaan tulisan Jawi yang pernah digunakan sebagai penulisan dalam lingua franca suatu masa dahulu itu telah diguna pakai  secara meluas menjadi tulisan rasmi dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu.

“Antaranya di negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

“Malah, pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia juga tertulis di dalam tulisan Jawi,” katanya.

Justeru ujar beliau, memasukkan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan tidak perlu dijadikan isu dengan tujuan mengindoktrin sifat Islamofobia terhadap penduduk bukan beragama Islam.

Pada 31 Disember lalu, Majlis Daerah Batu Gajah, Perak mengeluarkan arahan terbaru untuk memasukkan tulisan Jawi pada papan tanda bukanlah perintah wajib, tetapi dasar untuk menggalakkan dan mempromosikan penggunaan tulisan Jawi di kawasan pentadbiran mereka.

Bagaimanapun, kata notis itu, bermula 1 Januari 2022, semua urusan berkaitan permohonan baru dan pembaharuan Lesen Premis Perniagaan dan iklan di kawasan Majlis Daerah Batu Gajah dikehendaki mematuhi peraturan berkenaan penggunaan tulisan Jawi bagi keterangan aktiviti perniagaan pada visual papan iklan atau papan tanda premis perniagaan masing-masing.

Hal yang demikian mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak termasuk MCA Batu Gajah yang menggesa majlis daerah menarik balik pengumuman itu dan menghormati hak peniaga tempatan untuk membuat pilihan. – HARAKAHDAILY 19/1/2022

- Advertisement -