Terengganuku, cintakan ilmu

- Advertisement -

SUDAH lama bumi bertuah ini tidak menerima kunjungan pencinta ilmu yang suatu ketika dahulu, orang ramai sanggup, bersesak di jalanan, berhimpit-himpit, berpeluh, terkadang kebasahan dalam curahan hujan. Mereka langsung tidak berganjak demi mahu mendengar mutiara ilmu daripada tok-tok guru yang datang menyampaikan ilmu mereka.

Inilah Terengganu Darul Iman, bumi yang melahirkan begitu ramai para guru agama semenjak dahulu. Tidak terbilang jumlah mereka yang sanggup berkhidmat demi agama. Tanah Melayu ini, yang terakhir dijajah oleh Inggeris, dek kerana ketahanan dan kecekalan alim ulamak ini, berjuang dan mengajak rakyat sama-sama berjuang, mempertahankan kedaulatan tanah leluhur ini.

- Advertisement -

Catatan sejarah, membuktikan Terengganu adalah negeri terawal menerima Islam dengan penemuan Batu Bersurat. Kemudian, Sultan Zainal Abidin III memerintah Kerajaan Terengganu pada tahun 1911 hingga 1930-an dengan mengamalkan Undang-undang Islam yang diberi nama Itqanul Muluk Bi Ta’dilis Suluk. Dan terakhir pada tahun 2002, Enakmen Kanun Jenayah Syariah telah diwartakan di DUN Terengganu. Kesemuanya mengangkat al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertinggi perundangan.

Sudah lama, semenjak COVID-19 melanda dunia, hanya kuliah secara online sahaja yang dibuat. Segalanya berubah, mengecewakan hati insan-insan yang mahu menghadap guru dalam belajar agama. Mereka menanti sabar dan terus menanti. Namun, kuasa Allah, segalanya masih belum berubah, sehingga mencapai hampir dua tahun. Dan kemudiannya perlahan-lahan dibenarkan kuliah bersemuka.

Hati yang rindu, tiada tertahan, segala doa dan harapan dipanjatkan kepada Allah yang menyembuhkan segala kesakitan, supaya diangkat segera wabak ini. Demi kerinduan ini, mereka bersama-sama menjaga dan patuh kepada segala SOP yang telah ditetapkan. Walaupun sakit hati melihat kumpulan lain bagaikan bebas tiada berjarak melakukan aktiviti mereka. Akhirnya kesabaran itu, terbalas juga.

Tanggal 17 Januari 2022, maka dengan izin Allah, telah berjaya diadakan satu program yang menghimpunkan beberapa guru agama bagi menghilangkan dahaga ilmu umat manusia. Demi mendengar kelulusan program dari pihak berkuasa, mereka bersusun-susun bergerak menuju ke Darul Atiq, Kampung Gemuruh, Tepoh bagi mendengar nasihat agama daripada penceramah tersohor tanah air, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Wadi Annuar.

Jalan menjadi sesak, tidak dijangkakan akan sambutan yang begitu hangat daripada perindu-perindu ilmu ini. Empat ekar luas tanah di kawasan pondok, sepertinya tidak mencukupi bagi menampung kehadiran pendengar. Maka penganjur dengan bijaksana, terpaksa mengawal kemasukan, agar tidak menjadi fitnah kepada mereka. PDRM memohon agar SOP sentiasa terjaga. Dan sebagaimana biasa, orang masjid, mereka akur.

Paling ramai dilaporkan hadir ialah para pemuda. Bukan sahaja daripada Terengganu sendiri, malah ada yang sanggup menyeberang negeri, demi mendengar akan program ini diluluskan pihak berkuasa. Inilah semangat Islam yang tinggi yang akan memudahkan jalan mereka ke syurga sebagaimana pesanan Rasulullah S.A.W yang berbunyi yang bermaksud: 

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Di kala kebimbangan kita terhadap kejatuhan moral dan fitnah yang semakin dahsyat, berlaku dalam masyarakat kita, kita bermohon kepada Allah dengan permulaan program besar majlis ilmu ini, akan menjadi penampan kepada fitnah-fitnah yang bakal datang. Tidaklah kita akan selamat hidup di dunia ini, kecuali dengan mengamalkan ilmu yang benar dari Allah dan Rasul.

Sungguh, semangat terutama anak-anak muda Terengganu ini, mesti dijadikan pemangkin kepada kebangkitan agama ini. Sudah ditulis dalam sejarah, segala gerakan perubahan adalah datang dari semangat jiwa pemuda, sama ada jiwanya Islam atau tidak. Marilah kita sama-sama mendoakan agar semangat Islam dalam jiwa anak muda Terengganu ini akan menjadi benteng kepada serangan musuh Islam.

Terengganu Darul Iman, sesungguhnya kamu merindui curahan ilmu Allah. Insya-Allah, ia tidak akan mati di sini, malah, ia menjadi permulaan yang cemerlang setelah berakhirnya COVID-19 tidak lama lagi, amiin.

MOHD NASIR ABDULLAH
19 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 19/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -