Tempoh MoU tamat punca pengurusan pondok diarah pindah

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

BACHOK:
Seramai 50 pelajar Pondok Darul Syahadah di Gunong dekat sini didakwa diarah berpindah apabila tempoh kebenaran menggunakan tanah dan premis pusat pengajian agama itu tamat.

Pendaftar Pondok Darul Syahadah, Rusyairi Rohani berkata, pihak pengurusan pondok berkenaan menerima notis daripada pemilik tanah supaya mengosongkan premis itu selewat-lewatnya bulan depan.

Katanya, berikutan itu menyebabkan 30 pelajar lelaki dan 20 perempuan berusia antara lapan tahun sehingga 17 tahun hilang tempat tinggal dan pusat pengajian bagi mempelajari ilmu agama.

Advertisement

“Kami menerima notis penamatan memorandum persefahaman (MoU) bertarikh 12 Januari lalu yang meminta supaya kami mengosongkan premis selewat-lewat 12 Mac depan.

“Pelajar-pelajar perempuan sudah dipindahkan terlebih dahulu dengan menumpang di sebuah rumah persendirian di Negeri Sembilan, manakala pelajar-pelajar lelaki pula dalam proses untuk dipindah sementara ke sebuah pondok kosong di Bera, Pahang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Hadir sama, Mudir Pondok Darul Syahadah, Amir Nazif Zainul Anuar dan bekas pengerusi Pondok Darul Syahadah, Zainul Anuar Abdullah.

Zainul Anuar pula mendakwa tanah dan premis pondok berkenaan diwakafkan oleh pemilik menerusi MoU antara beliau dan pemilik tersebut lima tahun lalu dan pihaknya sudah membina beberapa bangunan tambahan yang baharu yang dianggar bernilai lebih RM409,000.

“Kami diberi syarat sekiranya tidak mahu keluar, kami perlu membayar RM600,000 sebagai balasan tanah dan bangunan yang diwakafkan.

“Pemilik tanah tersebut juga mendakwa dia dipanggil oleh pihak berkuasa agama kerana pondok kami dikatakan terlibat dengan perkara yang melanggari ajaran Islam,” katanya.

Sementara itu, pemilik tanah terbabit yang dihubungi menafikan mewakafkan premis dan tanah berkenaan, sebaliknya memberi pihak pengurusan pondok berkenaan beroperasi secara percuma.

“MoU dibuat pada 20 Julai 2016 dengan terma pihak Pondok Darul Syahadah bersetuju menerima tawaran untuk membangunkan semula tahfiz milik saya yang sedia ada di tapak itu sebelum ini.

“Pihak saya sudah memberi mereka menggunakan premis dan tanah secara percuma serta cukup sudah tempoh tujuh tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2022