Isu Azam Baki: Jangan melulu tuduh dan hukum

SC sahkan tiada pelanggaran dilakukan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua pihak mesti mengambil sikap tidak cepat menuduh dan menghukum terhadap sesuatu dakwaan yang belum jelas atau terbukti, demikian nasihat Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.

Jelas beliau, Islam menekankan prinsip asas perundangan Islam dalam mendepani sesuatu tuduhan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah yakni oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

- Advertisement -

Khairil Nizam mengulas keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap dakwaan ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang mendapati beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan akaun dagangan.

“Kita jangan terlalu cepat menghukum dan terpengaruh dakyah pembangkang. Pastikan sesuatu perkara seperti diuruskan mengikut ‘rule of law’,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional.

Azam dalam satu kenyataan semalam melahirkan rasa bersyukur atas keputusan SC tersebut.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan keputusan SC yang mana mendapati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya telah dimaklumkan oleh SC bahawa inkuiri mengenai perkara itu telah ditamatkan. Oleh sebab itu, mereka telah menutup fail inkuiri.

“Atas keputusan itu, saya akan meneruskan tugas saya sebagai Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi rasuah dalam negara ini tanpa rasa takut atau berpihak,” katanya.

Terdahulu SC dalam satu kenyataan menyatakan mereka telah menamatkan ikuiri berkaitan dengan akaun dagangan Azam dan berdasarkan kepada bukti yang dikumpul, mereka tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Sebagai pengawal selia pasaran modal, SC menyatakan bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan SICDA. – HARAKAHDAILY 19/1/2022

- Advertisement -