RIYADH: Putera Mahkota Muhammad Bin Salman mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Istana Al-Yamama di sini pada Selasa (18 Jan) dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dua hala antara Arab Saudi dan Korea Selatan.
Persekutuan Dewan Saudi (FSC) berkata, lawatan Jae-in ke Arab Saudi akan mengukuhkan jumlah kerjasama dua hala antara kedua-dua negara, kerana ia merupakan salah satu rakan dagangan terpenting Arab Saudi.
Dalam sesi perbincangan rasmi itu, kedua-dua pemimpin itu mengkaji hubungan dua hala antara kedua-dua negara berkenaan tentang bagaimana cara untuk menyokong dan meningkatkan kerjasama mereka dalam semua bidang.
Turut dibincangkan ialah tentang perkembangan terkini serantau dan antarabangsa serta usaha yang dilakukan mereka untuk mencapai keamanan dan kestabilan sejagat.
Wakil Arab Saudi pada pertemuan rasmi itu termasuklah Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz Bin Salman; Menteri Dalam Negeri, Putera Abdulaziz Bin Saud Bin Naif; Menteri Pengawal Negara, Putera Abdullah Bin Bandar; Timbalan Menteri Pertahanan, Putera Khalid Bin Salman; Menteri Luar, Putera Faisal Bin Farhan; Menteri Negara, anggota Kabinet dan Penasihat Keselamatan Negara, Dr. Musaed Bin Mohammad Al-Aiban; Menteri Perdagangan dan pemangku Menteri Media, Majid Al-Qasabi; Menteri Pelaburan, Khalid Al-Falih; dan Menteri Ekonomi dan Perancanga,n Faisal Al-Ibrahim.

“Lawatan terbaharu kerajaan Korea Selatan ke Arab Saudi itu akan membuka ruang ekonomi dan pelaburan baharu antara kedua-dua negara,” ujar FSC dalam kenyataannya itu.
Menurut FSC, Korea Selatan ketika ini sedang melaksanakan beberapa projek gergasi di Arab Saudi Kerajaan seperti Riyadh Metro, Loji Kuasa dan Penyahgaraman Shoaiba, Kompleks Industri Maritim Global Raja Salman di Ras Al-Khair.
Korea Selatan merupakan antara 10 negara teratas dalam jalinan kerjasama import dan eksport dengan Arab Saudi, yang mana terdapat 120 projek usahasama antara kedua-dua negara membabitkan nilai hampir AS$1 blion (RM4.19 bilion). – Saudi News Agency