Pengundi muda: Muslimat PAS Kedah lancar kad tahniah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah untuk pertama kalinya melancar kad tahniah khususnya kepada pengundi muda (18 tahun) dan mereka yang pertama kali menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, mengedar kad itu diletakkan di bawah seliaan Ameerah Negeri Kedah serta dibantu entiti berkenaan setiap kawasan.

“Untuk permulaan ini kita mencetak 40,000 keping kad dan diagihkan kepada Dewan Muslimat PAS kawasan-kawasan.

- Advertisement -

“Insya-Allah, setiap kawasan masing menerima 2,600 keping dan perlu memastikan Ameerah dan entiti anak muda di peringkat kawasan mengedarkannya kepada golongan sasaran dalam tempoh terdekat,” kata beliau ketika ditemui Harakahdaily sempena perjumpaan Ketua Halwa Jabatan Pilihan Raya Dun (JPRD) seluruh Kedah di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Menurutnya lagi, kad itu antara lain tujuannya untuk memberi sentuhan pertama (first touching) daripada Dewan Muslimat meraikan pertama kali mengundi untuk PRU kali ini.

Selain itu, Ashah berkata, secara tidak langsung ia dapat memperkenalkan PAS, dewan muslimat dan entiti anak muda (Ameerah, Briged dan Nusaibah) kepada pengundi muda terbabit.

“Kita mengharapkan apabila first voters ini menerima kad tahniah dari kita, secara tidak langsung mereka akan mengenali PAS.

“Selain itu di kad itu juga terdapat QR code untuk membolehkan mereka membuka link page, Facebook, twitter dan intagram Ameerah dan entiti anak muda di Kedah,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengharapkan kad tahniah itu juga menyasarkan pengundi awal daripada kalangan anak ahli PAS.

Sungguhpun begitu, kad itu tidaklah menyasarkan keseluruhan jumlah pengundi baharu yang berjumlah 600,000 pengundi, sebaliknya sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja.

Sementara itu, pihaknya akan menambah cetakan sekiranya mendapat kerjasama memberangsangkan daripada dewan muslimat kawasan-kawasan, Halwa JPRD dan entiti anak muda masing-masing. – HARAKAHDAILY 18/1/2022

- Advertisement -