Kerajaan peruntuk RM635 juta untuk kebajikan warga emas

- Advertisement -

LABUAN: Kerajaan telah memulakan langkah awal dengan meletakkan kebajikan dan kepentingan warga emas sebagai keutamaan dengan memperuntukkan sebanyak RM635 juta pada tahun ini bagi perbelanjaan bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ini merupakan sebahagian daripada persiapan Malaysia dalam menuju status negara tua menjelang 2030, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Turun Padang Ke Pusat Aktiviti  Wanita di Pejabat Pembangunan Wanita dekat sini hari ini.

- Advertisement -

Siti Zailah berkata daripada jumlah itu sebanyak RM607 juta diperuntukkan untuk bantuan sosioekonomi melibatkan seramai 140,000 penerima dan sebanyak RM870,000 wang saku diberikan kepada warga emas melibatkan 2,400 orang penghuni di 18 buah Institusi Penjagaan Warga Emas.

Katanya lagi sebanyak RM19 juta pula diperuntukkan bagi geran operasi melibatkan sebanyak 275 badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya institusi penjagaan warga emas dan RM9 juta lagi diperuntukkan bagi memperkukuh 153 buah PAWE melibatkan peruntukan sebanyak RM7.9 juta.

“Kementerian juga memperuntukkan RM1.1 juta untuk pengoperasian sembilan buah unit penyayang warga emas…pada masa yang sama, peruntukan PAWE juga dinaikkan sebanyak RM3 juta, menjadi RM7.9 juta bagi tahun 2022 berbanding RM4.9 juta pada tahun 2021,” katanya.

Siti Zailah berkata bantuan kewangan pengoperasian PAWE telah berjaya dinaikkan selepas 20 tahun, daripada RM33,330 kepada RM50,000 setahun bagi tahun 2022.

“Jika sebelum ini, elaun penyelia adalah pada kadar RM650 sahaja sebulan, bagi tahun 2022 elaun penyelia telah dinaikkan kepada RM1,100 iaitu peningkatan sebanyak RM450.

Manakala bayaran elaun pembantu penyelia pula dinaikkan sebanyak RM200, menjadi RM650 berbanding RM400 sebelum ini, selain peruntukan bayaran sewa sebanyak RM3,000 setahun,” katanya.

Beliau juga berkata sejumlah RM2.68 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Bajet 2022 dengan RM2.5 bilion daripadanya adalah peruntukan mengurus dan RM175.42 juta pula merupakan peruntukan pembangunan. – BERNAMA

- Advertisement -