DUN Johor: Tiada keperluan bubar tetapi PAS bersedia

Foto Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berpandangan tiada keperluan segera untuk membubarkan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) berbeza, namun pembubaran itu akan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk membubarkan DUN atau tidak, terpulang kepada Kerajaan Negeri Johor.

- Advertisement -

“Sebagai parti politik, PAS bersedia menyertai mana-mana pilihan raya jika diadakan sama ada di peringkat negeri atau pusat.

“Jentera parti juga telah diarah bersedia dalam apa jua keadaan termasuk mengambil kira norma baharu dengan pelbagai bentuk akan dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS akan bertindak meletakkan calon melalui Perikatan Nasional (PN) jika Barisan Nasional (BN) tekad untuk bertanding sendirian.

Namun, beliau menegaskan bahawa PAS tetap terbuka untuk mewujudkan persefahaman politik melalui Muafakat Nasional (MN).

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kekal dengan pendirian untuk bertanding secara sendirian dalam DUN Johor.

Katanya, pendirian Umno tidak berubah dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN. –HARAKAHDAILY 18/1/2022

- Advertisement -