UniMAP bekal teknologi penuhi keperluan masyarakat

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) boleh memainkan peranan membekalkan solusi teknologi untuk memenuhi keperluan masyarakat dan industri.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah peranan itu boleh dimainkan dengan adanya Centre of Technology (CoT) sebagai pusat kompetensi.

Titah baginda pusat itu akan memainkan peranan untuk meningkatkan kompetensi dalam kalangan kakitangan dan pelajar melalui latihan peningkatan kemahiran dan pemerolehan kemahiran baharu.

- Advertisement -

“Ia selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri,” titah baginda selepas meninjau tapak pembinaan Dewan Besar UniMAP di Pauh Putra, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Pengarah Pembangunan Prof Dr Khairul Azwan Ismail dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Ir Mohd Shahril Mohd Said.

Raja Muda yang juga Tuanku Canselor Universiti berhasrat menjadikan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP sebagai hub komuniti untuk warga universiti dan komuniti selaras konsep ‘UniMAP for Society’.

“Sebagai contoh, Ronald McDonald House Charities (RMHC) Sensory Room merupakan fasiliti terkini yang dibangunkan PTSFP bagi memenuhi keperluan meningkatkan keupayaan deria dalam kalangan golongan autisme.

“Fasiliti ini mula beroperasi pada pertengahan tahun lalu menempatkan sistem rangsangan deria yang dikenali sebagai snoezelen.

“Sistem ini bernilai lebih RM100,000 disumbangkan sepenuhnya Ronald McDonald House Charities,” titah baginda lagi.

Sementara itu Ir Mohd Shahril berkata, dewan tersebut boleh menampung hampir 4,000 orang pada satu-satu masa.

Katanya dewan itu dibangunkan di kawasan seluas 38,218 meter persegi melibatkan pembinaan dewan besar, blok sokongan meliputi rumah sampah, pencawang elektrik, rumah pam dan tangki pencegah kebakaran dan ‘chiller plant’.

Di samping itu, dataran rekreasi, rain water harvesting serta kawasan parkir yang boleh memuatkan sebanyak 204 kereta dan 84 motosikal. – HARAKAHDAILY 17/1/2022

- Advertisement -