Mahkamah tolak permohonan Husam dapat dokumen KPK

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan bekas Adun Salor Dato’ Husam Musa untuk penzahiran dokumen-dokumen terhadap Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK).

Peguam KPK Wan Muhamad Hafiz Wan Zawawi berkata, dua permohonan oleh Husam tersebut untuk penzahiran dan pemeriksaan dokumen KPK serta memfailkan ikatan dokumen dan senarai saksi bagi tujuan perbicaraan.

Katanya, permohonan tersebut ditolak oleh mahkamah semalam dengan kos RM5,000 setiap satu.

- Advertisement -

“Mahkamah menolak permohonan penzahiran oleh Husam terhadap KPK atas alasan permohonan tersebut bersifat mendapatkan maklumat baru (fishing expedition) dan satu bentuk salahguna proses mahkamah.

“Mahkamah juga tidak memberi kebenaran untuk defendan memfail ikatan dokumen dan senarai saksi defendan atas alasan Husam gagal membuktikan dokumen-dokumen tersebut penting untuk tujuan perbicaraan yang adil.

“Malah dia juga gagal kemukakan alasan munasabah atas kegagalan dan kelewatannya melakukan sedemikian dalam keadaan arahan mahkamah diberikan sejak 2018,” katanya di sini.

Sebelum ini, penghakiman direkodkan pada 1 Oktober 2019 yang membenarkan tuntutan saman fitnah oleh Husam terhadap KPK dan kemudiannya diketepikan Mahkamah Rayuan untuk didengar dan dibicara di Mahkamah Tinggi.

Pada kedua-dua permohonan tersebut, mahkamah dalam keputusannya menyatakan tindakan defendan yang mengambil masa sehingga enam minggu selepas diberikan peluang.

Mahkamah menganggap defendan telah menyalahguna proses mahkamah dan cubaan melengahkan prosiding walaupun mahkamah arahkan untuk dilakukan dengan segera.

Husam melalui peguamnya memohon secara lisan untuk penangguhan prosiding bagi merayu ke Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak mahkamah.

Mahkamah menetapkan kes untuk dibicarakan pada 23 dan 24 Januari ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Kedua-dua permohonan didengar di hadapan Hakim Dato’ Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Husam diwakili peguam Murtadza dan Vankendesh, manakala KPK diwakili Wan Muhamad Hafiz dan Aimi Shazwani.

Pada 2017 pemimpin terbabit dalam ceramah dan posting Facebook mendakwa KPK melanggar hak Orang Asli (menceroboh tanah Orang Asli di Gua Musang).

Husam juga mendakwa dan menyebarkan kononnya KPK telah ditutup dan berlaku penyelewangan dalam syarikat terbabit. – HARAKAHDAILY 17/1/2022

- Advertisement -