Lokasi serangan harimau di luar Hutan Simpan Kekal

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

MACHANG:
Harimau yang berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang baru-baru ini berada di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah berkata, semakan yang dibuat mendapati lokasi berkenaan merupakan kawasan penempatan Orang Asli suku kaum Temiar.

- Advertisement -

Katanya, sebahagian besar HSK Perias merupakan hutan pengeluaran dan terdapat beberapa kawasan pembangunan ladang hutan yang diwartakan sebagai Hutan Perlindungan (Hutan Tadahan Air) pada 2019.

“Kawasan serangan harimau yang berlaku sehingga menyebabkan seorang lelaki Orang Asli mati maut berada pada jarak antara lima hingga enam kilometer dari kawasan pembalakan.

“Laporan lengkap mengenai isu pembalakan yang dikaitkan dengan serangan harimau di Gua Musang dihantar kepada ibu pejabat Jabatan Perhutanan,” katanya selepas perasmian Dataran Dato’ Bentara Kanan di Taman Eko-Rimba, Bukit Bakar di sini, hari ini.

Perasmian tersebut disempurnakan Menteri Besar Ustaaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pada 7 Januari lalu seorang lelaki Orang Asli Anek Along maut dibaham harimau pada kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Oleh itu Abdul Khalim meminta orang ramai tidak memanipulasikan kemunculan harimau di perkampungan Orang Asli berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya juga berdasar kajian yang dilakukan pakar mendapati di kawasan anak pokok balak yang ditanam, lokasi itu menjadi subur sehingga menarik haiwan kecil seperti kancil dan landak.

“Di kawasan terbabit populasi harimau akan bertambah disebabkan kehadiran banyak haiwan kecil.

“Justeru itu, saya menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak memanipulasikan aktiviti pembalakan sebagai penyebab utama harimau keluar daripada habitat asalnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/1/2022

- Advertisement -