Djokovic tiba di Dubai selepas diusir Australia

- Advertisement -

DUBAI: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic tiba di Dubai pada hari Isnin (17 Jan) selepas kontroversi pengusiran sensasinya dari Australia, susulan status vaksinasi Covid-19 menyebabkan cita-citanya untuk merebut gelaran Grand Slam ke-21 terpaksa ditangguhkan.

Ketika Kejohanan Terbuka Australia mula berlangsung di Melbourne pada hari ini, juara bertahan tenis kategori lelaki itu turun dari pesawat Emirates dengan membawa dua beg dan memakai pelitup muka, dengan destinasi terakhirnya tidak diketahui.

- Advertisement -

Kejadian malang itu menimpa warga Serbia itu susulan pertikaian undang-undang yang berlarutan antara Djokovic yang tidak divaksin dan pihak berkuasa Australia yang menimbulkan polarisasi pendapat dan merosakkan reputasi kedua-dua pihak.

Djokovic berkata, beliau amat kecewa selepas Mahkamah Persekutuan Australia pada Ahad (16 Jan) sebulat suara mengekalkan pembatalan visanya atas alasan ketenteraman awam.

Bintang yang  sentiasa merendah diri itu menaiki penerbangan dari lapangan terbang Tullamarine Melbourne ke Dubai lewat Ahad, diiringi oleh rombongan pembantu dan pegawainya.

Penerbangan Emirates EK409 yang dinaiki Djokovic berlepas pada 10.51 pagi Ahad waktu tempatan, dan mendarat sebelum Subuh hari ini di Dubai, lapor seorang wartawan AFP yang turut sama berada di atas kapal tersebut.

Novak Djokovic bersama pengiringnya tiba di lapangan terbang Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 17 Januari 2022. (FOTO Reuters)

Terdahulu, sepanjang 11 hari terakhir berada di negara itu, sebanyak dua kali kerajaan Australia telah merampas visa Djokovic dan meletakkan bintang tenis itu dalam tahanan imigresen atas dakwaan kehadirannya ke negara itu dalam keadaan yang tidak divaksin boleh mencetuskan sentimen anti-vaksin di tengah-tengah gelombang pasang surut kes jangkitan Omicron.

Sebanyak dua kali juga, Djokovic menentang keputusan itu di mahkamah dengan memenangi perbicaraan mahkamah pada Isnin (10 Jan) lalu tetapi kalah dalam penentuan pada perbicaraan pada Ahad yang diputuskan oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan Australia, James Allsop.

“Perintah mahkamah ialah permohonan yang dipinda (Djokovic)  itu ditolak dengan kos,” tegas Allsop. – Agensi

- Advertisement -