Baitul Qurra’ perlu jadi pusat tarbiah PAS Melaka

- Advertisement -

Oleh ANUAR IBRAHIM

TANGGA BATU:
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin mahu pengajian kuliah mingguan yang berlangsung di Baitul Qurra’, Sungai Udang menjadi satu program tarbiah utama PAS negeri ini.

Menurut beliau, program kuliah mingguan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Zulkifli Ismail itu harus berperanan seperti program-program tarbiah di negeri-negeri yang PAS mempunyai pengaruh besar.

- Advertisement -

“Kita perlu mencontohi PAS negeri-negeri lain seperti (kuliah mingguan) di Rusila, Terengganu dan Medan Ilmu di Kelantan yang menjadi pusat Ilmu. Di Melaka kita sudah ada Baitul Qurra’ di Sungai Udang yang boleh melaksanakan peranan yang sama, dalam membentuk masyarakat di Melaka.

“Kita perlu memastikan Baitul Qurra’ menjadi pusat tarbiah di Melaka, sehingga usaha dakwah yang dijalankan akan bergerak seiring,” ujar Bakri ketika menyampaikan ucapan penutup program retreat Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Tangga Batu yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Qashrina Resort, Pantai Puteri, di sini, kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu juga menggesa pemuda PAS agar tidak hanya fokus kepada politik semata-mata tanpa disertai dengan dakwah dan tarbiah.

“Saya berharap agar mereka yang berada dalam PAS ini sentiasa bersedia memikul tanggungjawab untuk bersama-sama membawa dakwah Islam melalui pemerkasaan tarbiah dalam kalangan ahli.

“Kita perlu mengambil iktibar dakwah yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW pada peringkat awalnya yang memberikan tumpuan kepada asas dan akidah.

“Ini sebagai persediaan untuk menerima segala ajaran dan melaksanakan perintah Allah SWT, mengikut panduan sirah baginda Nabi SAW,” ujarnya lagi.

Bakri juga mahu segala usaha-usaha yang dilakukan oleh Dewan Pemuda mestilah memberikan penekanan kepada pembinaan dan pengisian ‘Fardul Muslim’ di samping melakukan kerja-kerja kebajikan.

Sementara itu, Ketua DPPK Tangga Batu, Kamarul Ariffin pula berharap agar segala gerak kerja yang telah dibincangkan di dalam retreat ini dapat dilaksanakan melalui lajnah-lajnah yang telah dibentuk.

“Melalui retreat ini, ukhuwah dan komitmen sesama Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu dapat digarap.

“Ini untuk membina momentum untuk sama sama-sama menjalankan gerak kerja yang telah dirancang untuk memantapkan organisasi dan meningkatkan sumbangan PAS di dalam masyarakat dan komuniti,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 17/1/2022

- Advertisement -