Tubuh yayasan bantu pelajar pusat tahfiz tidak berdaftar

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH | Foto AMIRA WAZNY SAHIMI

SELAYANG: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam proses menubuhkan satu yayasan pelajaran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membantu anak-anak di pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

Menterinya, Senator Idris Ahmad berkata ia bagi membantu pengendali maahad tahfiz yang tidak mempunyai kelengkapan atau bangunan yang tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

“Ini tidaklah bermakna kita menggalakkan terus yang tidak berdaftar tapi kita cuba supaya pusat-pusat tahfiz yang masih belum boleh mematuhi peraturan pihak berkuasa maahad tahfiz tempatan (PBT) supaya dengan sedikit masa lagi akan boleh memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

- Advertisement -

“Insya-Allah kita nak dalam negara ini semua pusat-pusat tahfiz berdaftar supaya pihak berkuasa mempunyai data dan maklumat penuh dengan itu semua bantuan yang di peruntukan oleh kerajaan persekutuan dan saya percaya kerajaan negeri juga boleh disalurkan dengan sewajarnya kepada pelajar dan pengurusan Maahad Tahfiz di seluruh negara,” katanya pada Majlis Peletakan Batu Asas Maahad Tahfiz Hidayatul Mustaqim, Selayang Baru, di sini petang semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh setiausaha politiknya, Wan Rohimi Wan Daud.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Khas Menteri Alam Sekitar dan Air, Zaidy Abdul Talib, ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abd Jabar; ADUN Taman Templer, Mohd Sani Hamzan dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Selayang, Dato’ Hasnal Rezua Merican.

Idris turut mengucapkan tahniah kepada Maahad Tahfiz Hidayatul Mustaqim yang berjaya melangkah maju walaupun dalam keadaan pandemik yang melanda.

“Seperti yang tuan-tuan tahu, tidak ramai dalam keadaan pandemik ini, maahad-maahad tahfiz dapat bangkit dan meneruskan khidmat mereka.

“Besar harapan saya dan kita semua, Maahad Tahfiz Hidayatul Mustaqim ini terus bergerak dan menjayakan pembangunan ummah,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh Maahad Tahfiz Hidayatul Mustaqim bagi menaik taraf sebuah asrama.

“Kami mengharap projek yang akan dilaksanakan berjaya dan diberkati perjalanan tuan-tuan semua. Saya doakan pihak mudir, Haji Azizan dan pihak pengurusan terus menjayakan projek berikut.

“Juga diberikan kekuatan dalam mendidik anak-anak tahfiz, bagi menjadi orang-orang yang beragama dan diterima di sisi Allah SWT,” katanya.

Majlis peletakan batu asas Maahad Tahfiz itu dilakukan oleh Wan Rohimi yang mewakili beliau. – HARAKAHDAILY 16/1/2022

- Advertisement -