Pendekatan dakwah YADIM berubah seiring perkembangan zaman

Foto: MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE
- Advertisement -

MUKADIMAH

Dakwah di Malaysia dari semasa ke semasa sentiasa menghadapi cabaran. Kemerdekaan meletakkan Islam di tempat yang tinggi sebagai agama rasmi negara. Pertambahan bilangan penduduk dan keragaman mad’u (orang yang didakwahkan) serta penggunaan teknologi maklumat yang meluas di kalangan pelbagai peringkat masyarakat yang membawa nilai tertentu adalah antara cabaran yang menanti dai’e (pendakwah). Wartawan Harakah, ZIAUDDIN SHARUDDIN dan SYAHIRAH SALLEH, mendapatkan pandangan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ustaz NASRUDIN HASSAN, mengenai pelbagai isu berhubung dakwah di negara ini, terutama yang berkaitan dengan YADIM.

- Advertisement -

Soalan (S): Bagaimana Ustaz melihat suasana aktiviti dakwah secara umum di negara ini?

Jawapan (J): Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, mempunyai latar belakang kaum dan agama yang begitu unik. Latar belakang itu menjadikan Malaysia sebuah negara yang subur dengan aktiviti dakwah.

Dakwah di negara ini mempunyai pelbagai segmen, iaitu pertama, kepada mereka yang belum menerima ajaran Islam. Kedua, mereka yang mula berjinak serta cuba hendak memahami dan mendalami Islam. Ketiga ialah orang Islam sendiri, tetapi masih belum mempunyai kefahaman mendalam terhadap ajaran Islam.

Ketiga-tiga segmen ini memang menjadi sasaran dakwah atau istilah yang kita guna adalah mad’u. Dalam latar belakang negara kita yang demikian, tiga kelompok ini terlalu ramai. Mereka yang belum menerima Islam pun ramai. Mereka yang mula berjinak dengan Islam kerana walaupun bukan Islam, tetapi hidup dalam kelompok orang Islam di perkampungan, kejiranan dan taman perumahan yang ramai orang Islam. Mereka menyaksikan perkembangan Islam dalam negara melalui rancangan televisyen dan sebagainya.

Jadi, sedikit sebanyak itu menumbuhkan rasa ingin tahu dan ingin mendekati. Jumlah mereka bukan sedikit dalam negara kita. Atas dasar itu, saya sebut Malaysia adalah negara yang sangat subur untuk dakwah. Maka tidak menang tangan lah kita, termasuk di YADIM sendiri. Saya percaya NGO dakwah dan Islam pun terlalu banyak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dalam negara kita menjalankan aktiviti menyampaikan Islam kepada masyarakat, ditambah pula dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan.

Malah di luar agensi agama pun seperti di kementerian lain mempunyai bidang atau biro tertentu di bawah kementerian yang berperanan untuk mempromosikan ataupun memberikan penjelasan berhubung Islam kepada masyarakat. Ini menyebabkan aktiviti dakwah rancak di negara kita. Saya sangat positif bahawa dakwah akan terus berkembang dan diterima baik di Malaysia.

Walaupun saya berkata demikian, tidak dinafikan terdapat kekangan dan halangan. Itu perkara normal, sesuatu yang baik pasti ada bahagian tidak baik yang menjadi gangguan atau halangan. Bagaimanapun, secara keseluruhan, dakwah berjalan dengan baik, tidak lah ada sekatan sehingga tidak boleh hendak bercakap dan sebagainya.

Walaupun ada juga isu seperti asatizah ditarik tauliah. Apakah itu menghentikan kerja dakwah? Tidak. Mungkin dari satu aspek, mereka tidak boleh mengajar di masjid kerana tiada tauliah. Tetapi di luar sana, ada 1,000 ruang lagi yang boleh mereka berdakwah, tambah lagi dalam dunia digital hari ini, bila-bila masa orang boleh berdakwah.

Malah, capaian orang yang ingin mendekati Islam melalui saluran media sosial dan media baharu jauh lebih luas. Kapasiti masjid dan surau mungkin antara 500 hingga 1,000 atau 2,000 orang. Paling ramai pun 5,000 orang. Tetapi dalam saluran YouTube, Facebook Live, dan yang terbaharu, TikTok, boleh mencapai hingga jutaan tontonan dalam pendekatan yang dilakukan oleh pendakwah kita.

S: Boleh ustaz kongsikan pencapaian YADIM sepanjang menjadi Yang Dipertua.

J: Saya menyertai keluarga besar YADIM sebagai Yang Dipertua ke-14 pada Julai 2020, menyambung baton kepimpinan terdahulu. Sejak ditubuhkan pada 1974, memang terlalu banyak aktiviti yang digerakkan oleh YADIM. Orang terdahulu ternyata mempunyai jasa yang besar menyemarakkan aktiviti dakwah. Atas dasar itu, yang pertama, saya bertanggungjawab untuk menyambung baton kerja dakwah itu.

Kedua, bertanggungjawab untuk mencari ruang atau pendekatan baharu yang sesuai dengan zaman. Sudah tentu lah apa yang kita alami pada zaman ini, jauh berbeza berbanding pada tahun 1974, tahun 1980-an dan 1990-an. Cabaran berbeza kerana antara saingan utama kepada gerak kerja dakwah ialah perkembangan zaman itu sendiri menyebabkan perlu ada penyelarasan terhadap pendekatan dakwah.

Oleh itu, tanggungjawab saya ialah memastikan kerja dakwah yang bersifat kontemporari perlu diketengahkan, ditambah nilai atau diaktifkan.

Ketiga, untuk memastikan dakwah benar-benar berkesan, bukan sekadar kita sahaja yang melakukan dakwah, tetapi maklum balas dan penerimaan masyarakat yang boleh diukur, iaitu mesti ada rekod. Sebab itu, mungkin pada zaman terdahulu, tidak simpan rekod seperti bilangan yang menerima Islam dan bilangan yang disantuni dengan aktiviti dakwah. Keadaan ini mungkin kerana faktor kemudahan tenaga penyelidik pada waktu itu dan penyelidikan yang terhad. Namun, sekarang kita sudah ada segala kemudahan dan kemahiran itu.

Ini yang kita buat. Sebagai contoh Bulan Dakwah pada tahun lalu. Saya sasarkan 3,000 program dengan 2 juta mad’u bagi tempoh antara Ogos hingga Disember. Alhamdulillah, berakhir 31 Disember 2021, kita dapat lebih 3,000 program dan 1.8 juta mad’u yang disantuni. Walaupun saya sasarkan 2 juta mad’u, tetapi 1.8 juta itu pada saya sendiri adalah suatu kejayaan.

Selain itu, kita mempunyai segmen yang luas dalam penyebaran dakwah dan dikategorikan secara terperinci. Kita ada satu entiti di bawah YADIM, iaitu Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang di bawahnya terdapat 24 kluster, termasuk Dakwah Media Baharu, Pendidikan, Seni Budaya, Saudara Baru, Dakwah Belum Muslim, Sabah dan Sarawak serta Orang Asal.

Kita spesifik kerana kita tidak mahu dakwah hanya menjadi aktiviti Touch n Go, pergi dan balik. Kemudian tiada susulan, tiada statistik, iaitu berapa orang berjaya menerima dakwah yang kita sampaikan. Sebelum ini, kalau kita pergi dan berdasarkan data yang ada, ada sesetengah kampung Orang Asal sebagai contoh, berpuluh-puluh NGO masuk pada suatu masa, selepas itu balik. Ini menyebabkan ada Orang Asal kata, sudah lima enam kali masuk Islam. Sebab sekali NGO datang, bagi sumbangan, bagi nasihat, masuk Islam. Datang NGO lain, masuk Islam lagi. Jadi saya rasa ini kerja yang tidak berkesan dan sia-sia.

S: Bagaimana ketidakselarasan ini ditangani.

J: Pertama, lebih 240 yang bernaung bersama MAIM dengan 24 kluster tadi, kita gerakkan secara tersusun. Kedua, YADIM membuat kategori dakwah. Sebagai contoh, YADIM Peduli yang bermaksud dakwah secara tindakan seperti pergi menghulur bantuan Musaadah kepada orang yang memerlukan, termasuk mangsa banjir tempoh hari. Ini menunjukkan kepedulian YADIM kepada masyarakat yang memerlukan.

Kemudian ada YADIM Interaktif, iaitu melakukan keterlibatan dua hala dengan pelbagai pihak seperti universiti untuk memajukan penyelidikan isu semasa berkaitan Islam yang saya kira, jika orang awam hendak faham tentang Islam, kita ada jurnal yang boleh dirujuk secara dalam talian.

Begitu juga, kita ada segmen dakwah secara lisan. Kita buat kuliah, seminar dan forum. Ditambah dengan takdir pada zaman saya dua tahun ini, berdepan zaman Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat menyebabkan kita tidak boleh bergerak dalam norma biasa.

Kita membuat perubahan menyeluruh untuk memastikan dakwah tetap berjalan walaupun berdepan pandemik. Jadi, kita memanfaatkan media digital semaksimum mungkin. Kita buat pentas dalam talian. Baru-baru ini, kita buat ijtima’ dalam talian yang dihadiri hampir 100,000 orang.

Kemudian kita buat program kuliah 24 jam tanpa henti. Macam-macam kita buat untuk mendekatkan masyarakat kepada Islam dalam keadaan norma baharu. Inilah yang telah menyebabkan saya lihat bahawa pendekatan yang digunakan perlu disesuaikan dengan zaman atau keadaan semasa. Setakat ini, saya berpuas hati. Namun, tidak memadai dengan saya yang membuat nilaian terhadap diri sendiri. Saya rasa tidak kecewa dengan kesempatan yang diberikan di sini sejak Julai 2020 sehingga sekarang. Alhamdulilah.

S: Ustaz ada menyatakan mengenai kenyataan penduduk Kampung Orang Asal yang lima enam kali masuk Islam. Adakah maksudnya sebelum itu langsung tidak ada penyelarasan?

J: Mengikut pengamatan saya, memang ada usaha untuk membuat penyelarasan, tetapi sering kali tidak berjaya. Kegagalan itu bukan sepenuhnya kerana melibatkan pihak yang hendak menyelaraskan, tetapi kerana kita tidak boleh kawal pihak lain.

Sebagai contoh, kita membuat penyelarasan berdasarkan skop kita, iaitu kumpulan kita sahaja lah, iaitu 240 NGO di bawah MAIM. Kita boleh selaras NGO berkenaan, tapi bagaimana dengan ribuan NGO lain yang tidak bersama kita. Mereka tetap masuk. Jadi untuk pastikan 100 peratus berlaku penyelarasan memang sukar.

Sekurang-kurang, kita boleh meminimumkan, terutama melibatkan NGO yang memang sudah mantap dan memang keluar masuk secara aktif, kita akan dekati mereka dan berbincang dengan mereka supaya kita selaraskan dan tidak bertindih dalam kerja dakwah. Banyak lagi Kampung Orang Asal yang di sesetengah tempat, tiada NGO masuk langsung.

S: Bolehkah peranan MAIM diperkukuhkan lagi?

J: Ini yang kita buat sekarang di MAIM. Setakat ini, kita baru dapat 240 NGO dan masih lagi mengundang NGO lain bersama kita supaya dapat membuat penyelarasan dalam kerja dakwah. Melalui MAIM, kita dapat kesan kampung ini belum masuk lagi, kawasan ini sudah ada yang masuk. Jadi kita boleh buat penyelarasan itu.

Kita juga menyelaras modul dakwah, apa dan peringkat mana yang kita hendak sampaikan. Sebab itu saya sebut di peringkat YADIM, kita ada pengkategorian. Selain yang saya sebut tadi, YADIM Peduli dan lain-lain, kita juga melahirkan pendakwah.

Ini tugas utama YADIM. Selain menyampaikan dakwah, kita menyediakan tenaga dai’e. Jadi, kita ada Dai’e Muda, Dai’e Orang Asal, Dai’e Sabah dan Sarawak. Terbaharu ialah Dai’e Komuniti yang kita hantar ke perkampungan atau Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Hasrat kita, sekurang-kurangnya kita mahu satu Parlimen ada paling kurang seorang Dai’e Komuniti.

Jadi kalau ada 222 Parlimen, kita ada lebih 200 Dai’e Komuniti. Setakat ini, baru ada antara 30 hingga 50 orang. Ini adalah projek perintis yang baru dimulakan tahun ini. Daie ini menerima elaun supaya mereka boleh fokus sepenuh masa terhadap kerja dakwah. – WAWANCARA LENGKAP DALAM HARAKAH EDISI CETAK.

- Advertisement -