Kelantan dapat RM400 juta wang petroleum 2020-2021

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Pusat menyalurkan hasil petroleum kepada Kelantan sebanyak RM400 juta dalam tempoh dua tahun bermula 2020 hingga 2021.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran itu diberi secara langsung kepada kerajaan negeri berdasarkan lima peratus hasil petroleum negeri terbabit.

Katanya, pada 2019 kerajaan menyalurkan sebanyak RM28 juta yang dikenali sebagai wang ihsan.

“Bagi tahun 2020 disalurkan sebanyak RM200 juta, manakala pada 2021 juga sebanyak RM200 juta.

- Advertisement -

“Dengan itu penyaluran tersebut meningkat berlipat kali ganda berbanding pada tahun 2019 dengan jumlah yang diberikan sebanyak RM28 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat Bajet 2022 bersama penjawat awam negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Tengku Zafrul juga berkata, sebanyak RM2.39 bilion diperuntukan kepada Kelantan tahun ini meliputi 351 projek pembangunan berbanding RM1.8 bilion dengan 340 projek tahun lalu.

Antara projek berkenaan termasuk pembinaan jambatan Palekbang membabitkan kos RM250 juta, projek mesra rakyat RM102 juta dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) RM483 juta.

“Bagaimanapun peruntukan itu meningkat tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan jumlah projek juga meningkat yang mana merangkumi projek lama dan baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2022

- Advertisement -