Siti Zailah santuni mangsa kebakaran di Tawau

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, kelmarin menziarahi mangsa kebakaran yang berlaku di Lorong Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama.

Mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Masjid Habib Abdul Rahman.

Advertisement

“Mendapat perkhabaran tentang tragedi kebakaran yang berlaku di Lorong Sungai Buaya, Jalan Tawau Lama, Sabah yang berlaku pada Ahad lepas (9 Januari 2022) melibatkan 312 mangsa dan 40 buah rumah musnah, saya berkesempatan menziarahi mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi duka ini di PPS Balairaya Masjid Habib Abdul Rahman pada petang ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, malam semalam.

Beliau difahamkan seramai 18 ketua isi rumah (KIR) melibatkan 69 mangsa berada di PPS tersebut.

Turut hadir bersama beliau menyantuni dan mendengar luahan rasa hati mereka ialah ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim@Joseph, Pemangku Ketua Pengarah JKM Malaysia, JKM Sabah serta pasukan Khidmat Malaysia

Menurutnya, beliau mengambil maklum beberapa perkara yang telah diutarakan oleh rakyat dan pimpinan setempat.

Tambahnya, pihak kementerian akan meneliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan lanjut.

“Alhamdulillah, beberapa sumbangan berbentuk bakul makanan daripada NADMA, wang tunai Tabung Bencana Segera JKM serta naskah Al-Quran sumbangan Nasyrul Quran dapat saya sampaikan kepada mereka.

“Moga dengan sumbangan yang diberikan mampu mengubat sedikit kedukaan yang mereka hadapi,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mendoakan semoga mereka yang terlibat dalam musibah itu dipermudahkan urusan, dimurahkan rezeki seluasnya dan digantikan dengan rezeki yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 15/1/2022