Rusuhan di Kazakhstan: Siapa di sebaliknya?

MINGGU lalu dunia dikejutkan dengan rusuhan dan kekacauan yang berlaku di Kazakhstan. Ia adalah rusuhan terburuk yang pernah berlaku di negara bekas Soviet Union tersebut sejak keruntuhan Soviet Union tiga dekad yang lalu.

Ketika ini keadaan kembali tenang terutamanya di Almaty, ibu negara Kazakhstan yang menjadi medan pertembungan utama di antara warga Kazakhstan dan polis anti rusuhan. Ketika memuncaknya rusuhan, lebih 160 orang telah terkorban dan 8,000 orang telah ditangkap dalam usaha untuk mengekang rusuhan tersebut daripada menjadi tidak terkawal.

Presiden Kazakhstan Kassym Jomart Tokayev ketika itu telah meminta bantuan Rusia supaya menghantar bantuan ketenteraan untuk meleraikan rusuhan yang berlaku dan Vladimir Putin telah menghantar bantuan ketenteraan dalam usaha untuk mengawal keadaan di Kazakhstan di mana tindakan tersebut dikritik hebat oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Namun saat ini, Rusia telah mula mengundurkan tenteranya dari Kazakhstan berikutan keadaan telah kembali tenang dan terkawal. Presiden Kazakhstan, Kassym Jomart Tokayev menyifatkan rusuhan dan kekacauan yang berlaku minggu lalu sebagai satu cubaan rampasan kuasa yang gagal yang diusahakan oleh anasir-anasir daripada dalam dan luar negara.

Advertisement

Kassym Jomart Tokayev juga menyatakan bahawa rusuhan yang disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa tersebut dikoordinasikan melalui satu pusat arahan, dengan tidak dinamakan pihak yang terlibat, beliau mendakwa ia adalah koordinasi anasir luar yang mempunyai hubungan dan pertalian rapat dengan Barat.

Tambah Kassym Jomart Tokayev lagi, kumpulan militia bersenjata menunggu masa yang sesuai untuk bersama menyertai rusuhan yang berlaku ketika itu dan perkara utama yang ingin dicapai ialah mewujudkan ketidakstabilan semaksima mungkin, meruntuhkan institusi kerajaan dan seterusnya melakukan rampasan kuasa.

Rusia bukan satu-satunya negara kuasa besar yang mempunyai hubungan rapat dengan Kazakhstan. Presiden China Xi Jinping turut memberikan sokongan padu kepada Kassym Jomart Tokayev ketika berlakunya rusuhan minggu lalu malah turut menyokong tindakan Vladimir Putin menghantar bantuan ketenteraan ke Kazakhstan untuk mengawal keadaan.

Presiden Turki Recep Tayyip Edrogan juga turut tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada Presiden Kazakhstan Kassym Jomart Tokayev dan memberikan jaminan kepada rakan sejawatnya bahawa Turki memberikan perhatian serius serta mengikuti dengan dekat perkembangan yang berlaku di Kazakhstan.

Namun Vladimir Putin dan Xi Jinping sependapat dengan Kassym Jomart Tokayev bahawa insiden rusuhan dan kekacauan yang berlaku di Kazakhstan diusahakan oleh anasir-anasir daripada luar sambil memberikan petunjuk bahawa ia adalah usaha daripada barat.

Jika dilihat sekali imbas, tidak kelihatan langsung bahawa rusuhan dan kekacauan yang berlaku didalangi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan kerana jelas terpampang di media-media utama dunia bahawa kekacauan yang berlaku adalah disebabkan rasa tidak puas hati warga Kazakhstan terhadap kenaikan baharu harga bahan api yang tinggi.

Tetapi jika diperhalusi keadaan di Asia Tengah dan di sekelilingnya ketika itu, kita akan dapati apa yang diperkatakan oleh Kassym Jomart Tokayev, Vladimir Putin dan Xi Jinping mungkin ada kebenarannya yang mana ia sebenarnya adalah pertembungan pengaruh kekuasaan dan geopolitik antara Rusia dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah di Asia Tengah dan negara-negara bekas Soviet Union.

Ketika berlakunya kekacauan dan rusuhan di Kazakhstan, telah berlangsungnya dua rundingan peringkat tertinggi yang memberikan impak besar kepada Asia Tengah dan negara-negara bekas Soviet Union iaitu rundingan di antara Rusia dan NATO yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Kedua-dua rundingan tersebut terarah kepada keadaan yang berlaku di Ukraine iaitu kemungkinan Rusia akan menawan Ukraine dan jumlah besar tentera Rusia yang berada di sempadan Ukraine di mana ketika ini Amerika Syarikat dan NATO memberikan amaran tegas termasuk ancaman sekatan jika Rusia terus dengan rancangannya untuk menawan Ukraine.

Sebagaimana keadaannya yang berlaku di Laut China Selatan antara China dan Amerika Syarikat yang membawa intimidasi, ancaman dan tenteranya ke Laut China Selatan untuk menggoncang China dengan menjadikan Taiwan sebagai umpan, begitulah juga keadaannya yang berlaku dengan Ukraine yang mana keadaannya hampir sama dengan situasi Taiwan.

Jika isu Laut China Selatan dan China, Korea Utara dijadikan punching bag oleh Amerika Syarikat dan sekutunya dalam usaha untuk melumpuhkan China kerana hubungan rapat antara Pyongyang dan Beijing, dalam isu Rusia dan Asia Tengah serta negara bekas Soviet Union, Kazakhstan nampaknya dijadikan punching bag oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana hubungan rapat kedua-dua negara.

Sebelum berlakunya insiden kekacauan dan rusuhan di Kazakhstan, telah berlaku satu lagi pertembungan di antara Rusia dan Barat iaitu krisis imigran di sempadan Belarus-Poland termasuk Latvia dan Lithuania yang menyaksikan pertembungan antara imigran dengan pihak keselamatan Poland yang disokong oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Belarus, sebuah lagi negara bekas Soviet Union adalah sekutu kuat Rusia di mana Presiden Belarus Alexander Lukashenko adalah sekutu kuat Vladimir Putin. Setelah gagalnya isu imigran di sempadan Belarus- Poland untuk melemahkan pengaruh Rusia di kalangan negara-negara bekas Soviet Union, usaha tersebut nampaknya terus berjalan dengan Kazakhstan dijadikan “kambing hitam“ terbaharu.

Kebanyakkan negara-negara bekas Soviet Union masih mempunyai hubungan rapat dengan Rusia seperti Belarus, Kazakhstan dan beberapa negara lagi dan sejak sekian lama Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah cuba untuk meleraikan pengaruh tersebut dengan cuba membawa masuk sebanyak mungkin negara-negara bekas Soviet Union ke pangkuan Kesatuan Eropah.

Ukraine juga dahulu adalah sekutu kuat Rusia ketika Viktor Yanukovych menjadi Presiden Ukraine namun lari meninggalkan Ukraine ketika kebangkitan rakyat Ukraine menentangnya. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Rusia menawan Crimea, sebuah wilayah Ukraine yang terletak di antara sempadan kedua-dua negara

Semenjak dari itu, Ukraine seperti menjadi simbolik kepada pertembungan di antara Rusia dan Barat. Seperti kebanyakkan negara-negara bekas Soviet Union yang mempunyai kedudukan strategik dan sumber asli yang cukup besar,  Kazakhstan adalah antara negara yang cukup kaya dengan sumber minyak mentah dan gas.

Ukraine pula berkedudukan strategik sebagai pintu utama ke Laut Hitam selain manjadi laluan utama ke Selat Bosphorus untuk ke Lautan Aegean dan negara-negara Eropah seterusnya ke Lautan Mediterranean dan Asia Barat. Sekali lagi boleh dikatakan jika benar seperti jangkaan banyak penganalisa geopolitik dunia, Barat gagal melemahkan Rusia dengan kekacauan dan rusuhan yang berlaku di Kazakhstan.

Tindakan pantas Vladimir Putin menghantar bantuan ketenteraan ke Kazakhstan nampaknya berjaya meleraikan rusuhan yang berlaku dan sekali lagi memusnahkan impian Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk melemahkan pengaruh Rusia di Asia Tengah dan di kalangan negara-negara bekas Soviet Union.

Sekali lagi Ukraine akan terus menjadi medan pertembungan utama antara Rusia dan Barat berikutan rundingan terbaharu antara Rusia dan NATO menemui kegagalan.

Di Asia Timur dan Laut China Selatan, pertembungan sama berlaku antara China dan Amerika Syarikat dengan sekutunya daripada negara-negara Eropah, Jepun, Korea Selatan, Australia dan India dengan Taiwan menjadi medan pertembungan utama.

Sejauh manakah pertembungan ini baik di Asia Tengah dan negara-negara bekas Soviet Union serta Asia Timur dan Laut China Selatan akan berlanjutan? Asia Barat dahulunya yang menjadi medan pertembungan utama kuasa-kuasa besar dunia telah huru hara dan banyak negara yang porak peranda serta hancur berkecai.

khalil
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Asia Barat dan daripada konflik yang berlaku di seluruh dunia ketika ini. Usah di jemput anasir-anasir luar untuk masuk campur dalam urusan poltik dan pentadbiran negara sebelum terlambat kerana kelak “sesal kemudian tiada gunanya“.

Semoga Dunia dan Umat Islam senantiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

Islam Menyatukan Ummah

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 15/1/2022