Kenyataan Menteri Agama isu viral remaja mencuri di masjid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengambil maklum terhadap isu tular mengenai pengurusan sebuah masjid memandikan seorang remaja yang mencuri di masjid baru-baru ini.

Katanya, ingin ditegaskan bahawa perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam.

“Pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya,” ujarnya dalam kenyataan media, malam tadi.

- Advertisement -

Beliau menambah, perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki adalah amat tidak wajar.

Katanya lagi, perkara seumpama itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki,” ujar beliau.

Menurutnya, perbuatan merakam gambar orang yang disyaki bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar.

“Masyarakat adalah diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan sama-sama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang bertaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

“Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/1/2022

- Advertisement -