Kelantan peruntuk RM11.5 juta naik taraf prasarana pantai

Oleh AIN MANAF

TUMPAT:
Kerajaan Kelantan akan memfokuskan kembali usaha mencantikkan pantai dengan memperuntukkan RM11.5 juta bagi menaik taraf prasarana pembangunan khusus di kawasan Pantai Cahaya Bulan dan Pantai Pulau Kundur yang dijangka siap pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, peruntukan itu turut melibatkan kerja-kerja pengambilan tanah di kawasan terbabit yang sedang giat dilaksanakan.

Advertisement

Katanya, Pantai Pulau Kundur merupakan kawasan baru untuk pembangunan prasarana baharu manakala Pantai Cahaya Bulan sedang dalam proses membaik pulih kawasan mengikut keperluan antaranya melibatkan hakisan tanah dan sebagainya.

Katanya, dua pantai berkenaan diberi fokus bagi menaik taraf keindahan selain menjaga kebersihan kawasan pantai dalam mempromosikan lokasi-lokasi tarikan pelancongan.

“Buat masa ini, kita sedang giat laksanakan kerja-kerja menaik taraf prasarana manakala Pantai Kundur sudah ada sedikit prasarana dan tahun ini kita akan selesai dengan lebih baik antaranya menyelesaikan jalan masuk Pantai Kundur, petak parkir, meletakkan tapak gajah, hiasan landskap penanaman pokok dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Program Gotong Royong Perdana di Pantai Geting, di sini hari ini. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.

Terdahulu, lebih 500 orang yang menyertai aktiviti gotong royong termasuk badan bukan kerajaan (NGO), guru dan pelajar yang menjadi tulang belakang terhadap kejayaan hasrat itu.

Sebelum ini, Kelantan mula merancang program mega kempen Kelantanku Bersih selepas dua tahun tertangguh kerana penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Izani turut meminta kerjasama semua pengunjung dan peniaga di setiap pantai supaya menjaga kebersihan selain membuang sampah sarap di tempat yang betul bagi menjaga kebersihan dan keindahan kawasan khusus bagi mencapai hasrat kerajaan menjadikan ‘Kelantanku Bersih’. – HARAKAHDAILY 15/1/2022