Unboxing isteri: Perlu ambil tahu untuk beri peringatan

Aziah Mohd Sa’ad
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH: Ibu bapa, guru dan ahli agama perlu ambil tahu berkaitan isu unboxing isteri atau unboxing by husband yang sedang hangat diperkatakan pada masa ini agar mereka dapat memberi peringatan dan nasihat.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah, Aziah Mohd Sa’ad, trend unboxing by husband iaitu trend pengantin baharu membuat video Tik Tok si suami membuka veil, tudung dan aksesori kepala isteri yang banyak berlaku pada masa ini adalah sesuatu yang bertentangan dengan moral dan agama.

- Advertisement -

“Jadi kita dalam masyarakat ni, terutama ibu bapa, guru-guru, ilmuan agama kena ambil tahu apa yang sedang berlaku sekarang. Kena faham apa itu unboxing by husband yang orang heboh perkatakan sekarang ini.

“Di rumahkah, atas mimbarkah, dalam kelaskah, kena sampaikan peringatan. Jadi golongan ini iaitu ibu bapa, guru-guru dan ahli agama boleh mengambil tindakan mengingatkan. Kita ambil perhatian daripada awal supaya tidak merebak,” ujarnya.

Tambah beliau, memang ada sesetengah pihak yang cuba menormalisasikan perbuatan ini dan menganggap perkara ini sebagai biasa akibat terpengaruh dengan media sosial.

“Benda-benda macam ni yang merosakkan pemikiran, yang mereka mungkin terpengaruh daripada media sosial. Masyarakat mungkin kata ‘biasalah tu’. Tetapi ia mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Kita pun sedang menghadapi berbagai-bagai musibah dengan banjirnya, dengan Covid-19. Kita tak tahu banyak lagi cabaran yang (mungkin) akan mendatang masa depan,” katanya lagi.

Tambah beliau, peranan yang dimainkan oleh ibu bapa, guru-guru dan ahli agama dalam menasihati bakal-bakal pengantin dalam isu ini penting untuk mendidik masyarakat

“Jadi kita harap biarlah masyarakat ini terdidik. Dan insya-Allah mudah-mudahan dengan terdidiknya masyarakat ini mudah-mudahan Allah SWT akan insya-Allah akan makmurkan semula negara kita,” ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, perkara ini jika tidak dibendung dan diberi peringatan pada masa sekarang, dibimbangi pada masa akan datang mereka akan pergi lebih jauh lagi, bukan sekadar membuka aksesori dan tudung sahaja.

Aziah yang juga merupakan mantan calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lepas berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily.

Aziah turut menitipkan nasihat buat para pengantin baharu agar sentiasa menjaga adab walau pun sedang teruja memasuki gerbang perkahwinan.

“Para pengantin ambil perhatian walau pun gembira dapat suami dapat isteri jagalah batas dan adab, aurat. Maknanya jangan dipertontonkan sebab akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Kita nak hidup ini berkat. Jika tiada berkat, Allah SWT tak pandang, nanti rumah tangga kita rosak binasa.

“Macam-macam cerita yang akan timbul. Bila berlaku macam itu akan melahirkan fitnah. Jangan hampiri fitnah. Kalau kita hampiri fitnah ini teruk nanti. Oleh itu jangan dikejut fitnah yang sedang tidur,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -