‘Unboxing isteri’: Hina maruah wanita, hilang sifat malu

KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menyifatkan perbuatan atau trend ‘unboxing isteri’ terutama melibatkan pasangan pengantin baru beragama Islam menerusi platform TikTok sebagai menghina maruah wanita dan ianya perlu dihentikan segera.

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Dr Ustazah Siti Mastura Muhammad berkata, trend ini dilihat semakin melarat apabila tanda pagar #unboxingisteri itu digunakan oleh ramai pengguna media sosial. 

Advertisement

“Seorang suami mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melindungi maruah wanita yang berada di bawah jagaannya. Tidak sewajarnya seorang suami mempertontonkan aurat isteri yang baru dinikahi melalui rakaman video yang boleh ditonton secara terbuka oleh sesiapa sahaja. 

“Para Muslimah diingatkan bahawa kita berhak menolak sekiranya sesuatu arahan yang diperintahkan oleh suami itu bertentangan dengan ajaran Islam. Wanita bukan barang dagangan yang boleh diperlakukan sesuka hati.

“Sebaliknya, Islam telah mengangkat maruah dan kemuliaan wanita melalui hak-hak yang diberikan oleh agama,” hujahnya bersandar hadis riwayat Bukhari, “Tidak ada ketaatan di dalam maksiat, taat itu hanya dalam perkara yang ma’ruf”

Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menyatakan, hubungan intim antara suami dan isteri haram didedahkan kepada orang lain dan perbuatan mendedahkan rahsia suami dan isteri juga adalah satu pengkhianatan besar dalam pandangan Islam. 

“Saya amat dukacita mendapati semakin ramai orang Melayu Muslim di negara kita masa kini sudah kehilangan sifat malu, sedangkan agama Islam amat mementingkan sifat ini. 

“Perasaan malu menurut beberapa hadis Nabi Muhammad S.A.W dianggap sebagai anak kunci syurga, malah sifat ini juga merupakan tiang seri bagi akhlak terpuji yang mampu memelihara iman seorang Muslim dan mencegahnya daripada melakukan maksiat,” ujarnya. 

Jelas beliau, banyak ayat al-Quran dan Hadis melarang suami atau isteri menceritakan hubungan intim mereka kepada sesiapa sahaja kerana memelihara rahsia rumahtangga adalah wajib dan tidak boleh didedahkan. –HARAKAHDAILY 14/1/2022