TLDM dan TLJ perkasa kebolehoperasian

- Advertisement -

LUMUT: Kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Jerman (TLJ) menerusi pelaksanaan Passage Exercise (PASSEX) mampu memperkasa kebolehoperasian melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan semalam memaklumkan PASSEX, yang julung kali diadakan semalam di perairan Selat Melaka, mempamerkan komitmen dan kesefahaman tinggi TLDM dan TLJ.

- Advertisement -

Kenyataan itu menyebut terdapat beberapa siri latihan di laut termasuk taktikal, pendaratan helikopter serta sail past berjalan lancar tanpa sebarang insiden sekali gus menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan kedua-dua angkatan laut. 

“Kedua-dua pihak mempamerkan komitmen dan kesefahaman yang jitu menerusi penglibatan tujuh aset oleh TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Inderasakti, KD JeBat, KD Lekir, KD Laksamana Hang Nadim, KD Gempita, KD Sundang serta helikopter Super Lynx. 

“TLJ diwakili dua aset iaitu FGS Bayern serta helikopter Sea Lynx,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut terdahulu, TLJ melaksanakan misi penugasan pengawasan keselamatan maritim di sekitar perairan Indo-Pasifik bersama gabungan aset tentera laut Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Jepun dan Korea Selatan. 

“Aset TLJ ini seterusnya dirancang melanjutkan pelayaran ke Sri Lanka dan India sebelum meneruskan pelayaran pulang ke negara asal pada Februari 2022 setelah selesai pelaksanaan misi pengawasan selama tempoh hampir enam bulan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selain komited terhadap keselamatan maritim dan pertahanan negara, TLDM akan terus memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut negara sahabat dalam memacu ketersediaan anggota bagi melindungi serta mempertahan kepentingan maritim negara. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -